Saturday 14 March 2015

Empat maut bom gugur dari pesawat perang Myanmar


TENTERA Myanmar di bandar utama Kokang, Laukkai pada 16 Februari lalu. - Foto AFP
BEIJING: Empat orang maut di barat daya wilayah Yunnan semalam selepas sebutir bom digugurkan dari pesawat perang Myanmar, beberapa hari selepas Beijing memberi amaran terhadap keganasan di sempadan, lapor media.
Agensi berita Xinhua berkata, bom itu meletup di ladang tebu di bandar Lincang menyebabkan empat pekerja terkorban dan sembilan lagi mengalami kecederaan.
Kejadian berlaku selepas kementerian luar China berkata, sebuah rumah di Yunnan terkena peluru di seberang sempadan Myanmar di mana tentera kerajaan bertempur dengan pemberontak.
Beijing sebelum ini memberi amaran berkaitan ancaman kestabilan di sempadan selepas perbalahan etnik memuncak di wilayah Kokang, timur laut wilayah Shan, Myanmar.
Bulan lalu, Myanmar mengisytiharkan darurat di Kokang sebagai tindak balas terhadap konflik yang meletus pada 9 Februari lalu.
Kekacauan yang berlaku menyebabkan bandar utama Kokang, Laukkai lengang kerana ia menjadi pusat pertempuran termasuk jalan raya yang selama ini menjadi nadi komuniti menjalankan rutin harian bertukar menjadi medan perang.
Lebih 30,000 orang melarikan diri dari Myanmar untuk menyeberang masuk ke wilayah Yunnan.
Agensi berita itu pada pagi ini melaporkan, Timbalan Menteri Luar China, Liu Zhenmin malam tadi meminta Duta Myanmar, Thit Linn Ohn bertemu untuk melahirkan bantahan terhadap kematian di ladang tebu berkenaan. - AFP

No comments:

Post a Comment