DHAKA - BANGLADESH. Pengawal sempadan Bangladesh dilaporkan diserang sekumpulan pendatang haram yang menyeberang dari negara jiran Myanmar, sebelum menahan 136 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut laporan Reuters, komander tempatan Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), Kolonel Mohammad Khalekuzzaman berkata, pendatang adalah dari masyarakat minoriti Muslim Rohingnya Myanmar yang tidak mempunyai negara.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 300 pelarian Rohingya sedang dalam perjalanan ke kem pelarian Kutupalong berhampiran bandar Cox Bazar ketika mereka ditahan di pusat pemeriksaan BGB selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

"Sekumpulan Rohingya bersama penduduk tempatan melepaskan tembakan dan melemparkan batu ke arah kami hingga memaksa pengawal BGB melepaskan amaran tembakan sebagai tindak balas. Seorang anggota cedera ditembak dan dibawa ke sebuah hospital di bandar itu," menurutnya.

Katanya lagi, 136 pendatang ditahan telah dihantar pulang ke Myanmar, manakala selebihnya berjaya melarikan diri dan dipercayai berlindung dengan penduduk tempatan.