Antara mayat warganegara Myanmar ditemui mati dengan kesan tetakan di tanah perkuburan Kristian, Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Tiga individu itu ditemukan dengan pelbagai kesan tetakan di seluruh badan setelah dipercayai diserang oleh sekumpulan lelaki, tengah malam tadi.
Mayat kesemua mereka yang masih belum dapat disahkan identitinya itu ditemukan oleh pekerja tanah perkuburan terbabit yang kemudiannya menghubungi polis.
Polis yang datang ke lokasi penemuan itu mendapati mayat berkedudukan 30 meter antara satu sama lain dan kesemuanya lengkap berpakaian tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Mayat pertama dikesan hampir putus di bahagian tengkuk serta jari kiri manakala mayat kedua pula luka di bahagian kepala dan muka selain jari kanan yang hampir putus.
Mayat ketiga pula dikesan mempunyai luka di muka dan belakang kepala dengan pergelangan tangan kiri yang hampir putus serta putus jari telunjuk kiri.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Se­nior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya mendapat maklumat itu pada 1.30 petang daripada pengurusan perkuburan.
“Berdasarkan siasatan daripada orang awam, kita mendapati, sekumpulan warga asing dilihat sedang minum di kawasan berkenaan pada waktu tengah malam.
“Kita percaya mereka bergaduh selepas minum di situ dan kemudian bergelut menggunakan senjata tajam. Kita percaya mereka dibunuh di sini,” katanya di sini.
Ujar beliau, pihaknya sedang menyiasat kaitan pembunuhan itu dengan konflik agama yang se­ring terjadi dalam kalangan rakyat Myan­mar.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.