Hentikan ketegangan
Tentera kerajaan berkawal di Laukkai, bandar utama di Kokang selepas ratusan anggota mereka terkorban dalam pertempuran terbaharu pada bulan lalu.
BEIJING - China mendesak Myanmar supaya tidak lagi meningkatkan ketegangan di sempadan selepas pertempuran tercetus antara tentera kerajaan dan  pemberontak Kokang atau Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), bulan lalu.

Gesaan itu dibuat selepas ribuan pelarian dari Myanmar dilaporkan merentasi sempadan melalui wilayah barat daya Yunnan.

Timbalan Menteri Luar, Liu Zhenmin menegaskan mereka sentiasa menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Myanmar.

"Kami berharap pihak yang berkaitan dapat bertenang untuk meredakan konflik di utara Myanmar secepat mungkin, sekali gus mengekalkan kestabilan di sempadan," katanya lagi.

Sementara itu, wakil Naypyidaw turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Beijing kerana membantu mereka mengendalikan situasi tegang di utara negara terbabit selain berikrar untuk terus berhubung rapat dengan kerajaan tersebut.

Difahamkan, kepulangan pemimpin kumpulan pemberontak itu, Peng Jiasheng didakwa menjadi punca utama pertempuran terbaharu tersebut selepas gencatan senjata berakhir pada 2009. - Reuters