Sunday 15 March 2015

China ancaman tindak balas susulan serangan Myanmar


BEIJING: Tentera China akan mengambil langkah "muktamad" jika berlaku lagi serangan oleh tentera Myanmar di wilayah China, tegas seorang pegawai kanan tentera.
Kenyataan itu dibuat selepas bom yang dilepaskan pesawat Myanmar jatuh ke wilayah China dan membunuh empat rakyat negara itu.
Pasukan keselamatan Myanmar bertempur dengan pemberontak di sempadan China sejak bulan lalu dan China menggesa Myanmar mengendurkan keadaan.
Namun, Myanmar menafikan ada bom pasukan keselamatannya yang jatuh di wilayah China, sebaliknya menyatakan pemberontak mungkin menembak bom itu ke wilayah China untuk mencetuskan salah faham. Pemberontak tidak memiliki sebarang pesawat.
Tentera udara China sudah menghantar pesawat bagi meronda kawasan sempadan itu dan meningkatkan kawalan ruang udaranya.
China juga memanggil duta Myanmar untuk membantah insiden pengeboman itu.
China dan Myanmar berkongsi sempadan sejauh 2,000 kilometer dengan sebahagian besar adalah kawasan pedalaman yang sukar diakses. - Reuters

No comments:

Post a Comment