Friday 6 March 2015

Polis serang penunjuk perasaan


Yangon: Anggota polis memukul sekumpulan penunjuk perasaan dan menangkap lapan daripada mereka yang berkumpul di sini, kata aktivis semalam.
Kejadian terbaru itu meningkatkan lagi ketegangan selepas beratus-ratus pelajar melancarkan bantahan menuntut reformasi undang-undang pelajaran di Myanmar.
Saksi dan aktivis berkata, puluhan penunjuk perasaan bertempiaran melarikan diri selepas sepasukan polis beruniform dan berpakaian awam menyerang mereka dengan belantan.
“Seorang pemimpin aktivis yang ditahan memberitahu kami mereka dipukul dan ditahan,” kata wakil kumpulan Generasi 88, Zaw Min kepada AFP.
Beberapa keping gambar menunjukkan anggota polis yang memukul kumpulan penunjuk perasaan mula tersebar meluas di Internet.
Sekeping gambar menunjukkan seorang anggota polis sedang memukul seorang penunjuk perasaan wanita.
Seorang anggota polis di lokasi kejadian mengesahkan seramai lapan aktivis ditahan.
“Tetapi tiada aktivis yang cedera,” katanya.
Sekumpulan 50 penunjuk perasaan berkumpul di tengah Yangon sebagai tanda solidariti dengan kumpulan pelajar yang melancarkan bantahan di Letpadan.
Pihak polis mengepung seramai 200 pelajar di Letpadan sejak tiga hari lalu selepas mereka berkumpul bagi membantah undang-undang pelajaran baru negara itu .
Polis bertegas untuk tidak membenarkan kumpulan itu yang merancang berarak ke Yangon, 130 kilometer dari bandar itu.
Sehingga kini, pihak berkuasa dilihat masih enggan mengambil tindakan tegas terhadap bantahan pelajar berkenaan yang sudah berlarutan selama beberapa bulan.
Ketegangan semakin memuncak sejak Selasa lalu apabila kumpulan pelajar itu tidak mengendahkan tarikh akhir yang diberikan pihak berkuasa untuk mereka bersurai. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34991#sthash.UFcYlXx7.dpuf

No comments:

Post a Comment