China tuntut penjelasan Myanmar
Tentera Myanmar membuat rondaan di bandar utama Kokang, Laukkai pada 16 Februari lalu. - Foto AFP
BEIJING - CHINA. Kerajaan China memanggil Duta Myanmar di Beijing selepas pesawat perang Myanmar menggugurkan sebutir bom di barat daya wilayah Yunnan kelmarin, menyaksikan empat warganya maut dan sembilan lagi cedera.

Agensi berita Xinhua berkata, Timbalan Menteri Luar China, Liu Zhenmin memanggil Thit Linn Ohn untuk bertemu bagi melahirkan bantahan terhadap kematian di ladang tebu di bandar Lincang itu.

Liu meminta kerajaan Myanmar melancarkan siasatan segara dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pihak berkuasa China di Beijing juga menggesa Naypyidaw mengambil langkah-langkah berkesan untuk mencegah kejadian sama daripada berulang.

Beijing sebelum ini memberi amaran berkaitan ancaman kestabilan di sempadan selepas perbalahan etnik memuncak di wilayah Kokang, timur laut wilayah Shan, Myanmar.

Bulan lalu, Myanmar mengisytiharkan darurat di Kokang sebagai tindak balas terhadap konflik yang meletus pada 9 Februari lalu.

Kekacauan yang berlaku menyebabkan bandar utama Kokang, Laukkai lengang kerana ia menjadi pusat pertempuran termasuk jalan raya yang selama ini menjadi nadi komuniti menjalankan rutin harian bertukar menjadi medan perang.

Pertempuran antara tentera kerajaan dengan Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) menyebabkan lebih 30,000 penduduk meninggalkan kawasan sempadan yang bergolak itu ke negara jiran China, bagi mendapatkan perlindungan sementara. - Press TV