Sunday 15 March 2015

Syed Hamid di AS raih sokongan isu Rohingya


Tan Sri Syed Hamid Albar
KUALA LUMPUR: Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar kini berada di Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu pihak tertentu dalam usaha mendapatkan sokongan untuk inisiatif OIC menyelesaikan isu Rohingya.
Selain bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon, Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar Malaysia turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Penasihat Khas PBB mengenai Myanmar, Vijay Nambiar dan wakil daripada Nonviolent Peaceforce, kata OIC dalam satu kenyataan.
Syed Hamid juga akan bertemu Prof Mohammed Abu-Nimer, Penasihat Kanan Pusat Antarabangsa Raja Abdullah Abdulaziz untuk Dialog Antara Budaya dan Antara Agama, di pejabat OIC, New York untuk membincangkan dialog penganut Islam dan Buddha yang akan dihoskan oleh Syed Hamid di sini, April ini.
Syed Hamid bersama Wakil Tetap OIC ke PBB Ufuk Gokcen juga akan mengadakan mesyuarat dengan Anggota Kongress AS Chris Smith yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil mengenai Afrika, Kesihatan Global, Hak Asasi Manusia Global dan Pertubuhan Antarabangsa.
Beliau juga dijadualkan bertemu dengan pegawai-pegawai Amnesty International, wakil Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusian PBB , Ketua Pengarah Kesatuan Rohingya Arakan Dr Wakar Uddin, seorang aktivis dengan New Burma Task Force USA Adem Carroll dan Setiausaha Agung Agama Untuk Keamanan Dr William Vendley.
Pada September tahun lalu, Kumpulan Penghubung OIC mengadakan satu mesyuarat mengenai isu Rohingya di New York dan menerima pelan tindakan yang disyorkan oleh Syed Hamid, yang menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan ke atas pihak menyebarkan kebencian dan mencetuskan keganasan.
Pelan itu juga menggesa supaya dialog antara komuniti dan antara agama, membenarkan mereka yang diusir kembali ke rumah masing-masing, melabur di dalam pembangunan sosio-ekonomi di wilayah Rakhine dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada masyarakat yang terjejas oleh keganasan etnik yang meletus pada 2012.
OIC yang berpangkalan di Jeddah berkata ia akan terus menggesa kerajaan Myanmar mengekalkan kerakyatan Muslim Rohingya, yang ditarik balik menggunakan Akta Kerakyatan 1982 dan mengadakan dasar telus dan inklusif terhadap kumpulan agama dan etnik termasuk Muslim Rohingya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment