Portal burmatimes melaporkan, sebanyak 76 buah keluarga Rohingya dari kampung itu kehilangan tempat tinggal ketika berlaku keganasan di negeri Rakhine pada 25 Oktober 2012, selepas rumah mereka dibakar selain harta mereka dirampas dan dimusnahkan.
Daripada jumlah itu, 56 buah keluarga ditempatkan di kem pelarian di kampung itu dan 20 keluarga lagi tidak mendapat pengiktirafan oleh pihak berkuasa.
Terdapat sebanyak 1,772 penduduk di Kampung Yung Pin Gyi, yang merupakan satu daripada 24 buah kampung etnik Rohingya di Rathedaung.
Keadaan itu menyebabkan 20 keluarga terbabit mengalami kesukaran untuk menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan terpaksa membina penempatan sementara berhampiran kem pelarian itu demi kelangsungan hidup.
Rabu lalu, Pegawai Pentadbiran Perbandaran Rathedaung, U Maung Maung meminta mereka kembali ke tanah asal mereka, lokasi kediaman mereka yang dibakar dengan mendakwa kawasan kem itu akan dirobohkan.
``Rumah kami telah menjadi abu dan kami tidak mempunyai wang untuk membina semula rumah. Bagaimana kami dapat kembali dan mendirikan semula rumah di situ,’’ kata penduduk semasa dipanggil bermesyuarat oleh U Maung-Maung.
U Maung-Maung berkata, penduduk akan diberikan pampasan, kecuali 20 keluarga yang tidak mendapat pengiktirafan pihak berkuasa Myanmar, dan mendakwa beliau tidak dapat membincangkan tentang nasib 20 keluarga terbabit.
Keadaan itu, sekali gus menjadikan kehidupan 20 keluarga terbabit terus terhimpit dengan masa depan mereka terus terumbang ambing.