Sunday 15 March 2015

Jet China kawal sempadan


Beijing
China semalam menghantar pesawat pejuang ke sempadan selepas bom yang dilepaskan jet pejuang Myanmar mengakibatkan kematian empat rakyat republik itu di Yunnan.
Bom dilepaskan jet pejuang Myanmar itu membedil ladang tebu di bandar Lincang, kelmarin menyebabkan empat pekerja maut dan sembilan lagi parah, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.
Kejadian berlaku selepas China berulang kali memberi amaran perbalahan akibat konflik etnik di wilayah Kokang, Myanmar, semakin menghampiri sempadannya.
Tentera China menghantar beberapa pesawat pejuang untuk menjejaki, memantau, memberi amaran dan menghalau jet Myanmar yang terbang terlalu dekat dengan sempadannya, kata jurucakap Shen Jinke dipetik Xinhua
Timbalan Menteri Luar China Liu Zhenmin memanggil duta Myanmar ke Beijing, Thit Linn Ohn malam Sabtu lalu untuk memprotes kematian empat warga China terbabit.
Liu turut menggesa Myanmar supaya menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak kejadian berulang.
“Dia meminta pihak berkuasa Myanmar menjamin keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan dengan China,” lapor Xinhua.
Awal minggu lalu, kementerian luar China berkata sebuah rumah di Yunnan rosak akibat kejadian tembakan di sempadan di mana askar Myanmar bertempur dengan puak pemberontak.
Bulan lalu, Myanmar mengisytiharkan darurat di Kokang akibat konflik yang bermula pada 9 Februari lalu itu. Lebih 30,000 orang dipercayai melarikan diri ke Yunnan dari Myanmar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36959#sthash.PhlbCKrZ.dpuf

No comments:

Post a Comment