Myanmar lancar siasatan
Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan di bandar Letpadan, kira-kira 130 kilometer dari utara Yangon.
YANGON - MYANMAR. Satu siasatan dilakukan ke atas insiden keganasan melibatkan pihak berkuasa di Myanmar yang didakwa menggunakan tindakan kekerasan ke atas kumpulan penunjuk perasaan di negara itu, kelmarin.

Semalam, akhbar Global New Light of Myanmar, melaporkan siasatan tersebut bertujuan untuk memastikan sama ada pasukan keselamatan bertindak ganas ketika cuba untuk menyuraikan kumpulan pelajar terbabit yang berhimpun di pusat bandar sejak 5 Mac lalu.

"Dalam insiden menggemparkan itu, anggota polis didakwa menggunakan cota untuk memukul pelajar, sami, aktivis dan petugas media di bandar Letpadan ketika mereka cuba menghalang kumpulan protes tersebut daripada terus berarak ke Yangon.

"Kami mahu memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut undang-undang. Insiden keganasan ini diharap tidak lagi berulang pada masa hadapan," menurut laporan itu.

Difahamkan, laporan lengkap siasatan tersebut akan dikemukakan kepada Presiden Thein Sein pada akhir bulan ini.

Terdahulu, parti pembangkang, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) menuntut satu siasatan dibuat ke atas insiden terbabit.

"Satu suruhanjaya siasatan perlu dibentuk dan laporannya juga perlu diumumkan kepada orang ramai secepat mungkin," kata pemimpin NLD, Aung San Suu Kyi. - AFP