Thursday, 28 August 2014

Wanita Rohingya paling menderita

Seorang wanita pelarian etnik Rohingya duduk bersama bayi kembarnya berusia 25 hari yang mengalami kekurangan nutrisi di khemah Dar Paing, Sittwe dalam Rakhine, Myanmar, April lalu. - REUTERS

YANGON 27 Ogos - Beribu-ribu wanita etnik Islam Rohingya mengalami kesukaran hidup setiap hari ekoran penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar dalam pelbagai aspek termasuk peras ugut, rampasan tanah, paksaan meninggalkan kediaman serta sekatan perkahwinan.
Menurut penyandang Menteri Kesihatan Myanmar, Dr. Than Aung yang dipetik laman berita, burmatimes.net Sabtu lalu, wanita Rohingya turut menjadi mangsa rogol dan liwat yang dilakukan oleh anggota keselamatan serta dieksploitasi tanpa diberi perlindungan dan hak kemanusiaan yang meletakkan diri mereka dalam keadaan malu seumur hidup.
Golongan wanita dan kanak-kanak juga turut dihalang daripada mendapatkan bantuan kemanusiaan dan tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman yang terletak berhampiran sempadan negara Bangladesh.
"Selain itu, kebanyakan daripada wanita berkenaan percaya mereka tidak sepatutnya terlibat dalam pembangunan komuniti dari segi politik, ekonomi dan kebersihan.
Mereka percaya, hal itu adalah tanggungjawab golongan lelaki dan tidak memberi perhatian serius dalam perkara tersebut yang disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan," katanya.
Than Aung menjelaskan, masalah kekurangan ilmu pengetahuan menjadikan komuniti wanita terlalu bergantung kepada lelaki dalam kehidupan seharian.
"Apabila suami mereka ditangkap atau dibunuh, seluruh keluarga menghadapi kesukaran kerana isteri tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan tanpa suami.
"Paling teruk apabila isteri tidak tahu apa yang terjadi kepada suami disebabkan pengetahuan yang kurang. Ini turut menjadikan kanak-kanak Rohingya mengemis atau bekerja sebagai pembantu rumah bagi membantu ibu mereka," katanya.
Kira-kira 75 peratus masyarakat Rohingya di Rakhine terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak memandangkan golongan lelaki terpaksa meninggalkan kediaman untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_06/Wanita-Rohingya-paling-menderita#ixzz3Bdl79VUM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, 26 August 2014

Pekerja Myanmar bertindak bakar kereta di Kulaijaya

KULAIJAYA: Sekumpulan pekerja kilang warga Myanmar bertindak membakar sebuah kereta dalam kejadian mogok dan rusuhan di Jalan Ganga, Desa Perindustrian Kulai 2, Kelapa Sawit, pada kira-kira jam 11 pagi tadi.Difahamkan, pekerja berkenaan bertindak sedemikian berkaitan masalah gaji.
SEKUMPULAN pekerja kilang warga Myanmar yang mogok di Jalan Ganga, Desa Perindustrian Kulai 2, Kelapa Sawit, hari ini.
SEKUMPULAN pekerja kilang warga Myanmar yang mogok di Jalan Ganga, Desa Perindustrian Kulai 2, Kelapa Sawit, hari ini.
SEKUMPULAN pekerja kilang warga Myanmar bertindak membakar sebuah kereta dalam kejadian mogok dan rusuhan di sini, pagi tadi.

Monday, 25 August 2014

Rampasan dadah paling besar di Myanmar


Yangon: Pihak berkuasa menahan 15 lelaki dan mematahkan cubaan menyeludup dadah terbesar dalam sejarah Myanmar.

Pegawai kanan skuad antidadah Myanmar, Myint Oo berkata tentera laut negara itu memintas sebuah kapal mencurigakan di Kawthaung.


Katanya, kapal berkenaan dalam perjalanan menuju Thailand.

“Selepas diperiksa, kami menemui 2.4 juta pil ekstasi di dalamnya,” katanya.


Nilai dadah dianggar RM63.2 juta.


Myint berkata, kejayaan itu yang terbesar dalam sejarah Myanmar. Julai lalu, pihak berkuasa merampas heroin bernilai RM7.2 juta di bandar Tachilek, wilayah Shan berhampiran sempadan Myanmar dan Thailand. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Sunday, 24 August 2014

Pasukan penyelam cari loceng keramat



GAMBAR menunjukkan Loceng Mingun seberat 90 tan yang merupakan antara beberapa loceng gergasi yang terdapat di Myanmar.


YANGON - Sejumlah penyelam turun ke dasar Sungai Yangon di sini baru-baru ini untuk mencari loceng gangsa terbesar di dunia yang dipercayai berada di dasarnya selama lebih empat abad.
Memiliki berat 270 tan atau melebihi berat 100 ekor gajah, loceng misteri itu yang dinamakan loceng Raja Dhammazedi menjadi simbol kebanggaan rakyat Myanmar.
Operasi tersebut jauh berbeza daripada pencarian sebelumnya kerana kali ini, pasukan penyelam bergantung kepada mantera dan kaedah spiritual lain untuk mencari loceng itu sekali gus mengetepikan cara saintifik.
Menurut sejarah dan legenda tempatan, Raja Dhammazedi memerintahkan loceng itu ditempa pada penghujung kurun ke-15 untuk diletakkan di Pagoda Shwedagon yang terletak di puncak sebuah bukit di sini.
Loceng itu berada di pagoda tersebut selama lebih 130 tahun sebelum ia dicuri tentera upahan Portugis diketuai oleh Philip de Brito.
De Brito mahu meleburkan loceng gangsa itu untuk membuat meriam kapal perangnya.
Namun, loceng yang amat berat itu tenggelam ketika dibawa menaiki sebuah kapal lama menyusuri sungai ini.
Ramai penduduk di Myanmar percaya loceng Raja Dhammazedi masih berada di bawah lapisan lumpur dan pasir di dasar sungai itu.
Namun, pelbagai usaha untuk mencari artifak itu menggunakan sonar dan peralatan berteknologi tinggi pada masa lalu gagal membuahkan hasil.
Operasi terbaharu ini pula dijangka berlanjutan selama 45 hari dan menelan belanja AS$250,000 (RM790,250) menggunakan wang derma orang awam.
"Saya percaya loceng ini dilindungi sumpahan," kata ketua operasi pencarian tersebut yang merupakan seorang bekas pegawai tentera laut Myanmar, San Lin.
Pada satu sidang akhbar Julai lalu, Lin memberitahu, dia ialah penjelmaan semula salah seorang daripada 14 penjaga artifak tersebut.
Menurutnya, dia boleh berhubung dengan semangat yang telah menghalang usaha untuk menemui loceng itu pada masa lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3BGGIfQWp 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Myanmar ditemui mati dalam ladang sawit


NIBONG TEBAL 23 Ogos - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui dengan keadaan lehernya hampir putus akibat disembelih di jalan masuk ke ladang kelapa sawit di Valdor, Simpang Ampat, di sini hari ini.
Selain disembelih, mangsa yang ditemui kira-kira pukul 12 tengah hari turut ditikam di dada dan perut.
Menurut sumber polis, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dan mempunyai tatu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terbaring berlumuran darah.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar pada badan mangsa yang masih belum diketahui identitinya itu dan dia dipercayai dibunuh lebih enam jam lalu di tempat lain sebelum dibuang di situ," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, siasatan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supritendan Wan Hasan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_05/Lelaki-Myanmar-ditemui-mati-dalam-ladang-sawit#ixzz3BG82f0Gq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bancian Myanmar satu kegagalan


YANGON 23 Ogos - Sebuah badan pemerhati antarabangsa mendakwa bancian penduduk yang dijalankan di negara ini pada tahun lalu, tanpa melibatkan etnik Islam Rohingya merupakan ‘satu kegagalan’ dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak mengikuti piawaian antarabangsa.
Laman web Burma Times melaporkan, Pasukan Pemerhatian Bancian Myanmar memberi amaran pengecualian bancian terhadap penduduk Rohingya bakal memberi kesan signifikan kepada data maklumat kumpulan etnik yang dipinggirkan itu.
“Pengecualian bancian terhadap populasi Rohingya boleh mewujudkan masalah metodologi yang serius.
“Hasil bancian yang tidak sempurna turut akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keputusan bancian di peringkat negeri dan daerah, malahan di peringkat kebangsaan," jelas badan tersebut dalam laporan yang dikeluarkannya pada 14 Ogos lalu.
Tambah badan pemerhati itu, keengganan kerajaan menerima kehadiran etnik berkenaan juga akan menyebabkan pembanci tidak mengutip sebarang data atau hanya mengumpul separa data sahaja.
Dana Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menyokong tindakan Kementerian Imigresen dan Populasi Myanmar mengadakan bancian penduduk antara Mac dan April lalu. Ia merupakan banci penduduk pertama di negara ini sejak 1983.
Pada mulanya, kerajaan mengambil keputusan membenarkan etnik Rohingya memilih ‘lain-lain etnik’ untuk menjawab soalan berkaitan etnik, dan bukan etnik Rohingya, tetapi menjelang bancian itu djalankan, kerajaan Myanmar menolak memasukkan etnik Rohingya dalam bancian.
Tindakan itu mendapat kritikan hebat daripada UNFPA yang menyifatkannya sebagai memungkiri janji.
“Dalam perjanjian mereka bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan (Myanmar) berjanji akan melakukan banci mengikut piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip hak asasi manusia," kata UNFPA dalam satu kenyataan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_06/Bancian-Myanmar-satu-kegagalan#ixzz3BG4uNFv9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 23 August 2014

Myanmar larang penggunaan perkataan 'Rohingya'

GAMBAR fail bertarikh 24 Jun lalu, memaparkan Mubari Khuson (kiri) bersama ibunya, Anwor Begum dan adiknya yang berusia tiga tahun, Haleda berdiri di hadapan rumah mereka di kem pelarian Dar Paing, utara Sittwe, Rakhine, Myanmar. - AGENSI
YANGON 22 Ogos - Pegawai asing dan pekerja bantuan perubatan mendakwa, mereka dilarang daripada mengguna atau menyebut perkataan Rohingya, penindasan terbaharu kerajaan Myanmar ke atas penduduk minoriti Islam itu, lapor agensi berita Burma Times.
Presiden Kumpulan Aktivis Organisasi Rohingya United Kingdom, Tun Khin berkata, kerajaan mendesak pekerja bantuan perubatan dan pegawai asing supaya tidak menyebut perkataan tersebut.
"Bagaimana hak asasi etnik Islam Rohingya mahu dibela oleh mereka yang tidak mahu menggunakan perkataan Rohingya," jelas Tun Khin sambil menambah halangan berkenaan menyaksikan kerajaan sedang mewujudkan dasar penindasan baharu.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, larangan terbabit dikuatkuasakan bagi mengelak daripada berlakunya lebih banyak ketegangan di antara penduduk Buddha dan Islam.
Seorang pegawai Jabatan Negara yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, dalam lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry ke negara ini bulan ini untuk menemui pemimpin Myanmar, beliau berpendapat isu nama harus 'diketepikan'.
"AS berpendirian pihak berkaitan harus mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyinggung perasaan seperti 'Bengali' yang digunakan oleh kerajaan untuk menggambarkan Rohingya kerana bimbang berlakunya konflik lebih besar," ujar pegawai tersebut.
Pada bulan Jun lalu, Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memohon maaf selepas menggunakan perkataan Rohingya dalam satu taklimat di Rakhine, tindakan yang mengundang kritikan ramai aktivis hak asasi manusia.
Kerajaan Myanmar sebelum ini menafikan kewarganegaraan penduduk Islam Rohingya, selain menempatkan mereka di kem pelarian yang daif tanpa disalurkan sebarang bantuan perubatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140823/lu_06/Myanmar-larang-penggunaan-perkataan-Rohingya#ixzz3BADxaEeL
© Utusan Melayu (M) Bhd