Sunday 24 August 2014

Bancian Myanmar satu kegagalan


YANGON 23 Ogos - Sebuah badan pemerhati antarabangsa mendakwa bancian penduduk yang dijalankan di negara ini pada tahun lalu, tanpa melibatkan etnik Islam Rohingya merupakan ‘satu kegagalan’ dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak mengikuti piawaian antarabangsa.
Laman web Burma Times melaporkan, Pasukan Pemerhatian Bancian Myanmar memberi amaran pengecualian bancian terhadap penduduk Rohingya bakal memberi kesan signifikan kepada data maklumat kumpulan etnik yang dipinggirkan itu.
“Pengecualian bancian terhadap populasi Rohingya boleh mewujudkan masalah metodologi yang serius.
“Hasil bancian yang tidak sempurna turut akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keputusan bancian di peringkat negeri dan daerah, malahan di peringkat kebangsaan," jelas badan tersebut dalam laporan yang dikeluarkannya pada 14 Ogos lalu.
Tambah badan pemerhati itu, keengganan kerajaan menerima kehadiran etnik berkenaan juga akan menyebabkan pembanci tidak mengutip sebarang data atau hanya mengumpul separa data sahaja.
Dana Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menyokong tindakan Kementerian Imigresen dan Populasi Myanmar mengadakan bancian penduduk antara Mac dan April lalu. Ia merupakan banci penduduk pertama di negara ini sejak 1983.
Pada mulanya, kerajaan mengambil keputusan membenarkan etnik Rohingya memilih ‘lain-lain etnik’ untuk menjawab soalan berkaitan etnik, dan bukan etnik Rohingya, tetapi menjelang bancian itu djalankan, kerajaan Myanmar menolak memasukkan etnik Rohingya dalam bancian.
Tindakan itu mendapat kritikan hebat daripada UNFPA yang menyifatkannya sebagai memungkiri janji.
“Dalam perjanjian mereka bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan (Myanmar) berjanji akan melakukan banci mengikut piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip hak asasi manusia," kata UNFPA dalam satu kenyataan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_06/Bancian-Myanmar-satu-kegagalan#ixzz3BG4uNFv9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment