Saturday 23 August 2014

Myanmar larang penggunaan perkataan 'Rohingya'

GAMBAR fail bertarikh 24 Jun lalu, memaparkan Mubari Khuson (kiri) bersama ibunya, Anwor Begum dan adiknya yang berusia tiga tahun, Haleda berdiri di hadapan rumah mereka di kem pelarian Dar Paing, utara Sittwe, Rakhine, Myanmar. - AGENSI
YANGON 22 Ogos - Pegawai asing dan pekerja bantuan perubatan mendakwa, mereka dilarang daripada mengguna atau menyebut perkataan Rohingya, penindasan terbaharu kerajaan Myanmar ke atas penduduk minoriti Islam itu, lapor agensi berita Burma Times.
Presiden Kumpulan Aktivis Organisasi Rohingya United Kingdom, Tun Khin berkata, kerajaan mendesak pekerja bantuan perubatan dan pegawai asing supaya tidak menyebut perkataan tersebut.
"Bagaimana hak asasi etnik Islam Rohingya mahu dibela oleh mereka yang tidak mahu menggunakan perkataan Rohingya," jelas Tun Khin sambil menambah halangan berkenaan menyaksikan kerajaan sedang mewujudkan dasar penindasan baharu.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, larangan terbabit dikuatkuasakan bagi mengelak daripada berlakunya lebih banyak ketegangan di antara penduduk Buddha dan Islam.
Seorang pegawai Jabatan Negara yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, dalam lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry ke negara ini bulan ini untuk menemui pemimpin Myanmar, beliau berpendapat isu nama harus 'diketepikan'.
"AS berpendirian pihak berkaitan harus mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyinggung perasaan seperti 'Bengali' yang digunakan oleh kerajaan untuk menggambarkan Rohingya kerana bimbang berlakunya konflik lebih besar," ujar pegawai tersebut.
Pada bulan Jun lalu, Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memohon maaf selepas menggunakan perkataan Rohingya dalam satu taklimat di Rakhine, tindakan yang mengundang kritikan ramai aktivis hak asasi manusia.
Kerajaan Myanmar sebelum ini menafikan kewarganegaraan penduduk Islam Rohingya, selain menempatkan mereka di kem pelarian yang daif tanpa disalurkan sebarang bantuan perubatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140823/lu_06/Myanmar-larang-penggunaan-perkataan-Rohingya#ixzz3BADxaEeL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment