Friday, 16 September 2016

Bunuh Penduduk, Anggota Tentera Myanmar Dihukum Penjara


Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2016 6:36 PM

Gambar hiasan

YANGON: Seramai tujuh anggota tentera Myanmar dijatuhkan hukuman penjara kerana membunuh penduduk kampung semasa menjalankan risikan.

Hukuman sebegini terhadap tentera jarang berlaku kerana di dalam pentadbiran, mereka ‘kebal’ atau bebas daripada hukuman.

Tentera Myanmar atau dikenali sebagai Tatmadaw, sudah mengawal pentadbiran negara itu hampir setengah abad.

Walaubagaimanapun, pentadbiran mereka kejam dan mencabul hak asasi manusia termasuk penyeksaan, merogol dan merekrut kanak-kanak menjadi anggota tentera.

Walaupun pada tahun 2011 pihak tentera menyerahkan kuasa kepada kerajaan ‘quasi-civilian’ kembali, namun penyalahgunaan kuasa masih lagi berlaku walaupun anggota tentera melakukan kesalahan.

Hukuman yang diberikan oleh mahkamah tentera pada Khamis menunjukkan pentadbiran masih kukuh dan ingin melakukan pembaharuan imej dan melalui transformasi demokratik.

“Tujuh askar Myanmar dijatuhkan hukuman selama lima tahun penjara kerana membunuh penduduk tempatan di kampung Mong Yaw, bandar Lashio, Shan State,” jelas anggota tentera menerusi kenyataan dari Facebook.

“Hukuman mereka diikuti dengan kerja-kerja berat di penjara,” tambahnya.

Mayat penduduk tempatan dijumpai di dalam kubur beberapa hari selepas mereka ditangkap sebagai tahanan berikutan dengan pemberontakan etnik dan pentempuran di Shan State.

Saturday, 10 September 2016

Myanmar bebas 55 kanak-kanak yang direkrut menjadi tentera


AFP  |  10 September 2016 1:50 AM
SEORANG bekas anggota tentera yang direkrut sejak kanak-kanak
SEORANG bekas anggota tentera yang direkrut sejak kanak-kanak (kanan) mengangkat barangan kepunyaannya ketika berjalan keluar daripada kem tentera di Yangon, Myanmar pada 18 Januari 2014 yang lalu.-AFP
YANGON 10 Sept. - Tentera Myanmar dilapor telah membebaskan 55 orang kanak-kanak di bawah Pelan Tindakan Bersama yang dipersetujui dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan penggunaan dan pengambilan tenaga kerja daripada kalangan golongan itu.
Bagaimanapun, tidak ada data yang tepat mengenai jumlah sebenar kanak-kanak yang masih berkhidmat dalam pasukan tentera berkenaan.
“Kami mengalu-alukan pembebasan ini,” kata Koordinator Bahagian Kemanusiaan dan Penduduk PBB di Myanmar, Renata Dessallien.
Sehingga kini, kira-kira 800 orang kanak-kanak yang direkrut menjadi tentera telah dibebaskan di bawah pelan tindakan yang ditandatangi pada tahun 2012 itu. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/myanmar-bebas-55-kanak-kanak-yang-direkrut-menjadi-tentera-1.381029#sthash.wyVoU52z.dpuf

Thursday, 8 September 2016

Suruhanjaya perdamaian Myanmar hadapi tentangan






AFP - SEKUMPULAN sami Buddha menunggu ketibaan Annan di Sittwe, Myanmar semalam.

YANGON – Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di ne­geri Rakhine, barat laut Myanmar semalam kerana membantah sebuah suruhanjaya pendamai yang diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan bagi menyelesaikan konflik antara pe­nganut Buddha dan etnik minoriti Islam Rohingya.

Konflik Rohingya menimbulkan kesangsian tentang komitmen pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam memperjuangkan hak asasi manusia di samping menjadi isu sensitif buat partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan yang menang besar dalam pilihan raya 2015.

Penduduk tempatan dan sami Buddha menyertai bantahan itu dengan kawalan ketat polis ketika hujan turun di Rakhine. Mereka membantah apa yang dilihat sebagai campur tangan asing dan berat sebelah daripada sembilan anggota suruhanjaya itu.

Suara ejekan penunjuk pe­rasaan semakin kuat ketika pesawat Annan tiba di sebuah lapangan terbang di ibu negeri Rakhine, Sittwe.

Mereka mengekori konvoi Annan ke pusat bandar di mana beliau memberikan ucapan dan menemui penduduk beragama Buddha serta masyarakat Rohingnya semasa lawatan dua harinya ke Sittwe.

“Kami berada di sini untuk membantu memberikan idea dan nasihat,” kata Annan kepada pegawai dan pemimpin tempatan di luar sebuah bangunan kerajaan di Sittwe.

“Kami juga maklum tentang bantahan, kebimbangan dan kesangsian yang tak kunjung reda,” tambahnya.

Dewan Rendah Parlimen Myan­mar semalam membincangkan sama ada rakyat ­asing perlu disingkirkan daripada panel tersebut tetapi kemungkinan itu adalah rendah.

“Saya tidak mahu orang ­asing terlibat dalam suruhanjaya ini. Saya mahu melihat sebuah suruhanjaya yang disertai oleh anak jati Rakhine,” kata seorang tukang kayu berusia 52 tahun, Kyaw Zin Wai.

Suruhanjaya itu terdiri daripada enam warga Myanmar dan tiga rakyat asing.

Lebih 100 orang terbunuh dan beberapa kejiranan di Rakhine dibakar ketika penduduk beragama Buddha bertempur dengan etnik Rohingya pada 2012.

Sehingga kini, seramai 125,000 etnik itu masih menjadi pelarian. Masyarakat Rohingya di Myan­mar dinafikan hak kerakyatan dan kemudahan asas, manakala pergerakan mereka juga disekat. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4JcOdjsKj
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, 6 September 2016

Penduduk Myanmar berhimpun bantah kehadiran Kofi Annan

SELASA, 6 SEPTEMBER 2016 @ 2:36 PM

 SITTWE: Ratusan penduduk Myanmar berhimpun menentang kehadiran suruhanjaya penasihat diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, untuk mencari penyelesaian konflik antara pengikut Buddha negara itu dan minoriti Islam Rohingya, yang menyukarkan pembaharuan demokratik.

Nasib Rohingya membangkitkan persoalan mengenai komitmen pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi, kepada hak asasi manusia dan mewakili isu politik sensitif bagi parti pimpinannya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), yang menang besar pada pilihan raya tahun lalu. Penduduk tempatan dan sami Buddha menyertai bantahan yang diawasi puluhan anggota polis, di dalam hujan di negeri Rakhine, mencabar apa yang dianggap sebagai 'campur tangan berat sebelah luar' daripada panel sembilan anggota itu.

 Sorakan dan laungan mengecam panel itu memuncak berikutan ketibaan pesawat yang membawa Annan.

Orang ramai kemudian mengikut konvoi ke bandar, lokasi Annan akan menyampaikan ucapan dan bertemu anggota komuniti Rohingya dan Buddha Rakhine ketika lawatan dua hari di ibu negara, Sittwe.

 "Saya tidak mahu melihat orang luar berada dalam suruhanjaya ini. Saya mahu melihat suruhanjaya itu diisi penduduk Rakhine," kata Kyaw Zin Wai, 52, menambah dua anggota suruhanjaya etnik Rakhine tidak mewakili penduduk negeri itu.

Lebih 100 maut dan beberapa kawasan penempatan dirobohkan ketika pertempuran etnik Buddha Rakhine dengan Islam Rohingya pada 2012. Kira-kira 125,000 masih tiada tempat tinggal, majoritinya etnik Rohingya, yang dilarang bergerak bebas, akses perkhidmatan asas terhad dan dinafikan kerakyatan di Myanmar. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190256

Suu Kyi, PBB bincang Rohingya






AFP - ANNAN (kiri) memberi ucapan dengan disertai Suu Kyi pada pertemuan mereka di Pusat Keamanan dan Perdamaian Kebangsaan di Yangon semalam.

YANGON – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menyelia mesyuarat pertama sebuah suruhanjaya yang ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di wilayah Rakhine yang bergolak akibat keganasan antara penganut Buddha dan etnik minoriti Islam Rohingya.

Krisis Rohingya menimbulkan kesangsian terhadap komitmen Suu Kyi dalam memperjuangkan hak asasi manusia selain menjadi isu sensitif buat parti­nya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang menang besar dalam pilihan raya umum 2015.

Matlamat suruhanjaya itu antara lain adalah untuk menamatkan pencabulan hak asasi manusia di Rakhine, barat laut Myanmar. Mesyuarat yang berlangsung semalam itu dipengerusikan sendiri oleh Annan.

“Kita gagal menangani isu ini dengan adil dan saksama. Kita juga tidak dapat mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata Suu Kyi dalam mesyuarat itu di Yangon.

Lebih 100 orang terbunuh dalam keganasan di Rakhine pada 2012, manakala 125,000 penduduk Rohingya kini menghuni kem-kem pelarian dengan pergerakan mereka dikawal ketat. Ribuan lagi etnik itu melarikan diri daripada penganiayaan dengan menggunakan bot.

Etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang kewarganegaraan.

Suu Kyi mengumumkan pada bulan lalu bahawa sembilan panel berkenaan yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan tiga rakyat asing akan membantu kerajaan menyelesaikan krisis Rohingya.

Anggota suruhanjaya itu akan melawat ibu negeri Rakhine, Sittwe di mana Annan dijadualkan berucap hari ini. Beliau juga akan menemui komuniti Ro­hingya dan penduduk tempatan.

Kata Annan, suruhanjaya itu akan mengemukakan cadangannya bagi menyelesaikan krisis Rohingya dalam masa beberapa bulan lagi.

“Saya memberi jaminan kepada penduduk Rakhine bahawa suruhanjaya ini akan berusaha secara saksama untuk mencari dan mencadangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Annan. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4JQcCBcGX
Hakcipta terpelihara 

Friday, 2 September 2016

Balasan seludup manusia




GAMBAR fail, seorang askar Thailand berkawal di tapak kem penyeludupan manusia yang ditemui di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia. - Agensi

Reuters
Bangkok: Sebuah mahkamah di Thailand kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang lelaki kerana menjadi dalang sindiket penyeludupan etnik Rohingya dari Myanmar tahun lalu.

Kes berprofil tinggi itu juga membongkar kem penyeludupan dan penemuan kubur besar di kawasan sempadan Malaysia serta sindiket perdagangan manusia antarabangsa.

Pada 11 Januari 2015, polis memintas lima kenderaan di daerah Hua Sai di wilayah Nakhon Si Thammarat dan menemui 98 lelaki, wanita serta kanak-kanak yang sangat kurus dan keletihan.

Seramai 42 daripada mereka adalah remaja lelaki dan perempuan berusia bawah 14 tahun manakala seorang etnik Rohingya ditemui mati.

Sunand atau juga dikenali sebagai Ko Mit Saengthong ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kes itu.

Data daripada telefon bimbit yang dirampas daripada pemandu kenderaan berkenaan dan transaksi wang di akaun bank mengaitkan lelaki itu dengan sindiket penyeludupan manusia.

Kelmarin, sebuah mahkamah di Nakhon Si Thammarat memutuskan Sunand bersalah atas tuduhan penyeludupan manusia, penghambaan dan membawa masuk pendatang asing.

Lelaki terbabit juga dikenakan denda 660,000 baht (RM78,275).

Peguam hak asasi manusia yang memantau kes itu, Janjira Janpaew berkata, pihaknya tidak menyangka hakim menjatuhkan hukuman yang berat.

“Hukuman itu lebih berat daripada apa yang kami jangkakan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:53 AM