Friday 2 September 2016

Balasan seludup manusia




GAMBAR fail, seorang askar Thailand berkawal di tapak kem penyeludupan manusia yang ditemui di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia. - Agensi

Reuters
Bangkok: Sebuah mahkamah di Thailand kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang lelaki kerana menjadi dalang sindiket penyeludupan etnik Rohingya dari Myanmar tahun lalu.

Kes berprofil tinggi itu juga membongkar kem penyeludupan dan penemuan kubur besar di kawasan sempadan Malaysia serta sindiket perdagangan manusia antarabangsa.

Pada 11 Januari 2015, polis memintas lima kenderaan di daerah Hua Sai di wilayah Nakhon Si Thammarat dan menemui 98 lelaki, wanita serta kanak-kanak yang sangat kurus dan keletihan.

Seramai 42 daripada mereka adalah remaja lelaki dan perempuan berusia bawah 14 tahun manakala seorang etnik Rohingya ditemui mati.

Sunand atau juga dikenali sebagai Ko Mit Saengthong ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kes itu.

Data daripada telefon bimbit yang dirampas daripada pemandu kenderaan berkenaan dan transaksi wang di akaun bank mengaitkan lelaki itu dengan sindiket penyeludupan manusia.

Kelmarin, sebuah mahkamah di Nakhon Si Thammarat memutuskan Sunand bersalah atas tuduhan penyeludupan manusia, penghambaan dan membawa masuk pendatang asing.

Lelaki terbabit juga dikenakan denda 660,000 baht (RM78,275).

Peguam hak asasi manusia yang memantau kes itu, Janjira Janpaew berkata, pihaknya tidak menyangka hakim menjatuhkan hukuman yang berat.

“Hukuman itu lebih berat daripada apa yang kami jangkakan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:53 AM

No comments:

Post a Comment