Tuesday 6 September 2016

Suu Kyi, PBB bincang Rohingya






AFP - ANNAN (kiri) memberi ucapan dengan disertai Suu Kyi pada pertemuan mereka di Pusat Keamanan dan Perdamaian Kebangsaan di Yangon semalam.

YANGON – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menyelia mesyuarat pertama sebuah suruhanjaya yang ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di wilayah Rakhine yang bergolak akibat keganasan antara penganut Buddha dan etnik minoriti Islam Rohingya.

Krisis Rohingya menimbulkan kesangsian terhadap komitmen Suu Kyi dalam memperjuangkan hak asasi manusia selain menjadi isu sensitif buat parti­nya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang menang besar dalam pilihan raya umum 2015.

Matlamat suruhanjaya itu antara lain adalah untuk menamatkan pencabulan hak asasi manusia di Rakhine, barat laut Myanmar. Mesyuarat yang berlangsung semalam itu dipengerusikan sendiri oleh Annan.

“Kita gagal menangani isu ini dengan adil dan saksama. Kita juga tidak dapat mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata Suu Kyi dalam mesyuarat itu di Yangon.

Lebih 100 orang terbunuh dalam keganasan di Rakhine pada 2012, manakala 125,000 penduduk Rohingya kini menghuni kem-kem pelarian dengan pergerakan mereka dikawal ketat. Ribuan lagi etnik itu melarikan diri daripada penganiayaan dengan menggunakan bot.

Etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang kewarganegaraan.

Suu Kyi mengumumkan pada bulan lalu bahawa sembilan panel berkenaan yang terdiri daripada enam warga Myanmar dan tiga rakyat asing akan membantu kerajaan menyelesaikan krisis Rohingya.

Anggota suruhanjaya itu akan melawat ibu negeri Rakhine, Sittwe di mana Annan dijadualkan berucap hari ini. Beliau juga akan menemui komuniti Ro­hingya dan penduduk tempatan.

Kata Annan, suruhanjaya itu akan mengemukakan cadangannya bagi menyelesaikan krisis Rohingya dalam masa beberapa bulan lagi.

“Saya memberi jaminan kepada penduduk Rakhine bahawa suruhanjaya ini akan berusaha secara saksama untuk mencari dan mencadangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Annan. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4JQcCBcGX
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment