Friday 28 February 2014

Larangan kahwin penganut agama lain



Yangon: Presiden Thein Sein semalam menyuarakan sokongannya terhadap empat undang-undang kontroversi berkait dengan agama yang akan dibahaskan oleh parlimen, termasuk melarang pengikut Buddha berkahwin dengan penganut agama lain.

Dalam surat kepada anggota parlimen, Thien Sein menggesa Dewan meluluskan rang undang-undang melindungi ajaran Buddha dalam kalangan 60 juta rakyat negara itu.


Rang undang-undang perkahwinan antara penganut agama berbeza, jika dikuatkuasakan akan mewajibkan lelaki memeluk agama Buddha sebelum mengahwini wanita agama itu.

Mereka yang gagal berbuat demikian berdepan hukuman penjara 10 tahun.


Ia bagaimanapun tidak terikat kepada perkahwinan antara lelaki Buddha dengan wanita beragama lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/28

Wednesday 26 February 2014

Dasar Nasaka kawal pergerakan, kehidupan etnik Rohingya


YANGON 25 Feb. - Kerajaan Myanmar didakwa mengamalkan dasar yang menafikan hak penduduk Islam Rohingya termasuk mengenakan langkah mengawal penduduk dan sekatan ke atas pergerakan mereka, jelas satu laporan, hari ini.
Laporan yang diedarkan oleh sebuah pertubuhan hak asasi manusia Fortify Rights, yang beribu pejabat di Asia Tenggara itu, turut menekankan dasar diskriminasi lain yang dikenakan ke atas etnik Rohingya termasuk sekatan untuk berkahwin, kelahiran anak dan pembinaan rumah-rumah ibadat.
Kumpulan itu dalam laporannya setebal 79 muka surat menyatakan, ‘Dasar Penindasan’ tersebut diterbitkan hasil 12 dokumen-dokumen rasmi yang bocor dan satu semakan tentang maklumat mengenai penindasan terhadap Rohingya yang pernah didedahkan.
Pengarah Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith berkata, kesan sekatan-sekatan itu agak teruk dan telah didokumenkan dengan baik selama beberapa dekad, tetapi arahan kerajaan itu telah disimpan daripada diketahui awam.
Laporan itu sebagai contoh menunjukkan satu dokumen kerajaan yang menyatakan penduduk Rohingya Islam yang berkahwin mesti ‘mengehadkan jumlah anak dalam usaha mengawal kadar kelahiran supaya mereka akan cukup makan dan tempat berlindung’.
Pasukan keselamatan Myanmar menurut pertubuhan itu juga, diberi kuasa oleh pegawai kerajaan untuk melakukan pemeriksaan ke atas kediaman penduduk Rohingya dan mengesahkan wanita adalah ibu kepada anak yang dilahirkan.
Sementara itu, jurucakap bagi negeri Rakhine, Win Myaing memberitahu Wall Street Journal bahawa sekatan ‘bagi pengawalan jumlah penduduk, perkahwinan dan kadar kelahiran’ dilaksanakan di bawah dasar ‘Nasaka’. satu kuasa keselamatan sempadan kontroversi ditubuhkan pada tahun 1992, kebanyakannya bagi mengawal pergerakan keluar masuk antara Bangladesh dan Myanmar.
Dasar Nasaka kata Myaing, melarang penduduk Rohingya daripada bergerak antara kampung, namun dasar itu membenarkan mereka yang mempunyai Kad Pendaftaran Asing untuk bergerak secara bebas.
Dasar Nasaka ditarik balik oleh Presiden Myanmar, Thein Sein, Julai tahun lalu, bagaimanapun kumpulan hak asasi menegaskan, amalan diskriminasi itu masih berlaku.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140226/lu_12/Dasar-Nasaka-kawal-pergerakan-kehidupan-etnik-Rohingya#ixzz2uNVUzase
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday 25 February 2014

Tentera Myanmar latih sami guna senjata


Yangon: Kumpulan hak asasi manusia semalam mempersoalkan pembabitan kerajaan Myanmar, khususnya tentera negara itu dalam keganasan terhadap penduduk Islam Rohingya di negara berkenaan.

Ia berikutan tersebar gambar menunjukkan tentera melatih sami Buddha negara itu mengguna senjata api.


Ketua Persekutuan Persatuan Rohingya Dr Thahir Muhammad Arakani berkata, latihan menembak yang dijalani sami berkenaan mencetuskan persoalan dan mencurigakan. “Gambar itu menyebabkan kami meragui usaha kerajaan mewujudkan keamanan dan kestabilan. “Selama ini, kerajaan tidak pernah melatih sami menggunakan senjata api,” katanya.


Thahir juga menyatakan kebimbangan kemungkinan latihan itu menandakan akan berlaku keganasan besar-besar yang baru terhadap penduduk Islam Myanmar.


Menurut laporan, latihan ketenteraan yang dijalani sami berkenaan dilakukan di sebuah kampung di wilayah Shan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/25

Monday 24 February 2014

Utusan PBB tidak berpuas hati


PBB tidak berpuas hati dengan siasatan oleh kerajaan Myanmar yang menyatakan tiada keganasan berlaku ke atas penduduk Kampung Du Chee Yar Tan di negeri Rakhine. - AGENSI
YANGON 23 Feb. - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tomás Quintana (gambar) menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap siasatan kerajaan Myanmar berhubung keganasan di bahagian Maungdaw di negeri Rakhine pada bulan lalu, dan mengulangi desakan supaya siasatan bebas dan tidak berat sebelah diadakan.
Laman web akhbar Burma Times melaporkan walau pun kerajaan Myanmar memberi jaminan tiada kematian berlaku ketika serbuan polis di perkampungan Du Chee Yar Tan pada Januari lalu, Quintana masih menerima maklumat tentang pencabulan hak asasi yang berlaku sewaktu kejadian itu.
"Ini termasuk dakwaan pembunuhan ke atas penduduk lelaki, wanita dan kanak-kanak, pencabulan seks terhadap wanita, kecurian dan pembakaran harta benda.
"Sehingga kini, siasatan dalam negeri yang dijalankan gagal memberi perhatian terhadap dakwaan-dakwaan terbabit," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, baru-baru ini.
Sebelum ini, Presiden Myanmar, Thein Sein telah mengarahkan Suruhanjaya Hak Asasi Myanmar menyiasat keganasan yang berlaku dalam serbuan itu selepas beberapa kali didesak oleh PBB dan komuniti antarabangsa.
Quintana memberi amaran, sekiranya hasil siasatan tidak menepati piawaian antarabangsa, beliau akan mengarahkan Majlis Hak Asasi PBB untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendedahkan kebenaran dalam kejadian itu.
Serangan ganas itu berlaku apabila pasukan polis bersenjata dan penganut Buddha Rakhine menyerbu kawasan penempatan etnik Rohingya untuk mencari seorang pegawai polis, Sarjan Aung Kyaw Thein yang dilaporkan hilang, selepas lapan lelaki Rohingya didakwa dibunuh oleh penganut Buddha, beberapa hari sebelum itu.
Menurut kenyataan kerajaan, Kyaw Thein diserang penduduk Islam di Kampung Du Chee Yar Tan, dan mayatnya masih belum ditemui.
Jumlah korban dalam serbuan itu masih belum diketahui, bagai mana pun, kumpulan hak asasi, Fortify Rights melaporkan, seramai 40 orang terkorban dalam insiden berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_03/Utusan-PBB-tidak-berpuas-hati#ixzz2uBk0vSfO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday 17 February 2014

5 wartawan Myanmar didakwa


YANGON 16 Feb. - Polis Myanmar mendakwa lima wartawan dengan tuduhan mendedahkan rahsia kerajaan selepas akhbar mereka menyiarkan berita mengenai sebuah kilang senjata kimia, lapor media rasmi, hari ini.
Akhbar New Light of Myanmar melaporkan, perbicaraan empat wartawan dan ketua Unity Journal dimulakan kelmarin di Pakokku, bandar di wilayah tengah yang terletaknya kemudahan tentera tersebut.
Akhbar itu melaporkan selain didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), wartawan itu turut dituduh menceroboh kawasan larangan di kilang tersebut, namun tidak mendedahkan apakah operasi kilang berkenaan.
Jurucakap kerajaan, Ye Htut pada minggu lepas memberitahu media bahawa kilang tersebut tidak mengeluarkan senjata kimia. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_07/5-wartawan-Myanmar-didakwa#ixzz2tWTNRqyv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday 14 February 2014

1,300 Rohingya dihantar pulang


BANGKOK 13 Feb. - Pihak berkuasa Thailand menghantar pulang kira-kira 1,300 pelarian etnik Islam Rohingya kembali ke Myanmar lewat tahun lalu, tindakan yang mengabaikan gesaan kumpulan hak asasi manusia yang melarang kumpulan minoriti itu dihantar pulang ke negara asal yang melakukan diskriminasi ke atas mereka.
Leftenan Jeneral Pharnu Kerdlarpphon hari ini berkata, penghantaran pulang etnik berkenaan dilakukan dari September hingga November lalu dan pengumuman mengenainya hanya dikeluarkan pada minggu ini.
Katanya, kesemua pencari suaka politik berkenaan ditempatkan di pusat tahanan dan perlindungan di seluruh negara ini.
"Penghantaran pulang mereka ini dilakukan secara sukarela, kami menghantar antara 100 ke 200 orang pada satu-satu masa.
"Kebanyakan etnik Rohingya memberitahu bahawa mereka tidak dapat melihat masa depan mereka di Thailand dan memilih untuk kembali ke Myanmar," jelas Pharnu kepada AP.
Penduduk Islam Rohingya sering berdepan dengan diskriminasi di Myanmar, di mana setakat ini beribu-ribu orang terkorban dan lebih 140,000 lagi kehilangan tempat perlindungan sejak dua tahun lalu dalam keganasan agama yang berlaku di negara tersebut
Sehingga akhir Januari lalu, lebih 1,700 penduduk Islam Rohingya ditahan di Thailand, selepas bot yang mereka naiki terkandas di selatan negara ini.
Tambah Pharnu, lapan orang Islam Rohingya yang ditahan meninggal dunia selepas diserang penyakit, manakala sebahagian lagi melarikan diri atau dihantar pulang ke Bangladesh.
Kumpulan hak asasi manusia mengesa Thailand mengakses Islam Rohingya dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) supaya status pelarian mereka boleh diperiksa, sambil melahirkan rasa kebimbangan tentang keselamatan etnik ini selepas dihantar pulang ke Myanmar.
"Penghantaran pulang (etnik Rohingya) kembali ke Myanmar bermakna menghantar mereka ke tempat yang berbahaya, di mana mereka akan dianiaya dan di dera," kata penyelidik hak asasi manusia, Sunai Phasuk. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140214/lu_04/1300-Rohingya-dihantar-pulang#ixzz2tErnOPkn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 8 February 2014

Kes tembak Aye Maung dipercayai berkaitan konflik Myanmar


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kes cubaan membunuh dengan menembak Ahli Parlimen dari Myanmar, Dr. Aye Maung di Bukit Bintang kelmarin, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap siasatan yang dikendalikan beliau berkaitan konflik di antara penganut Islam dan Buddha di Rakhine dan Yangon, Myanmar.
Menurut sumber, Aye Maung merupakan Pengerusi Parti Pembangunan Warganegara Rakhine (RNDP) yang ditubuhkan kerajaan Myanmar bagi menyiasat konflik agama di negara itu.
Bagaimanapun, kata sumber, difahamkan beliau yang diberi tanggungjawab untuk mengendali isu itu gagal bersikap adil dan dikatakan berat sebelah.
"Atas faktor itu, dipercayai ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap perjalanan siasatan konflik tersebut, termasuk dalam kalangan warga Myanmar yang berada di negara ini.
"Sebelum ini, terdapat maklumat yang menyatakan penduduk Rohingya di negara ini merancang untuk membuat demonstrasi bantahan terhadap lawatan Ahli Parlimen itu," kata sumber itu.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin, Aye Maung bersama Ketua Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thar Aung nyaris terbunuh selepas dua lelaki bersenjatakan pistol melepaskan enam das tembakan ke arah kereta BMW 7 siri yang dinaiki di Jalan Alor, Bukit Bintang, di sini.
Kesemua tembakan tersebut hanya terkena cermin kiri penumpang, bumbung kereta, but dan bahagian bawah plet kereta yang turut dinaiki oleh dua lagi orang kanan kedua-dua pemimpin itu.
Sumber turut memberitahu, suspek yang melepaskan enam das tembakan dalam cubaan membunuh Aye Maung kelmarin dipercayai rakyat Myanmar dari Rohingya.
Difahamkan, Aye Maung telah pulang ke negara asalnya pada pukul 3 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan konflik yang melanda Myanmar menjadi punca kedua-dua ahli politik itu menjadi sasaran pembunuh.
"Kita percaya kejadian itu memang ada kaitan dengan isu negara mereka dan pihak kami juga percaya ia turut dilakukan oleh suspek yang berasal dari Myanmar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek masih belum ditahan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberi maklumat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140208/je_03/Kes-tembak-Aye-Maung-dipercayai-berkaitan-konflik-Myanmar#ixzz2sgFWYTuJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday 6 February 2014

Pertubuhan antarabangsa bela Rohingya didakwa berat sebelah


Gambar fail bertarikh 15 November tahun lalu, menunjukkan sekumpulan sami Buddha berarak bagi menyatakan bantahan terhadap kunjungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar bagi menilai situasi masyarakat Rohingya Islam di Yangon. - REUTERS
YANGON 5 Feb. - Kira-kira 3,000 penduduk tempatan membanjiri jalan-jalan di Sittwe, di negeri Rakhine, barat Myanmar, kelmarin bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan polis serta mengadakan bantahan terhadap etnik Rohingya dan pertubuhan antarabangsa yang memihak kepada masyarakat Islam itu.
Bantahan itu diketuai kumpulan Rakhine Social Network dan disertai penduduk yang menuntut supaya kumpulan etnik itu tidak diberi hak mengundi serta mendesak pengunduran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain daripada kawasan itu.
Selain itu, mereka turut meminta supaya anggota polis dibenarkan untuk menggunakan kekerasan dalam keadaan kecemasan.
"Kami mahu anggota polis diberi senjata canggih supaya mereka boleh mempertahankan diri dengan lebih berkesan.
"Kami juga menuntut supaya pihak polis diberi kuasa untuk melepaskan tembakan mengikut budi bicara mereka," kata seorang penganjur bantahan, Nyo Aye.
Kumpulan itu turut mendesak supaya badan-badan antarabangsa diusir keluar dari Rakhine atas dakwaan berat sebelah dan lebih memihak kepada etnik Rohingya untuk bantuan kemanusiaan berbanding penduduk tempatan lain.
Namun begitu, ketika dihubungi, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Doctors Without Borders (MSF) enggan mengulas tentang perkara tersebut.
Aye berkata, bantahan itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan turut diadakan di bahagian lain dalam negeri berkenaan, termasuk Mrauk-U, Kyauktaw, Minbya dan Maungdaw.
Dalam pada itu, beberapa sumber memberitahu, berpuluh-puluh keluarga etnik Rohingya di Sittwe telah meninggalkan kediaman mereka untuk mengelakkan sebarang kejadian ganas.
Bulan lalu, PBB mengumumkan tentang penemuan bukti kukuh berhubung pembunuhan 48 lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada etnik Rohingya di perkampungan Duchira Dan oleh kumpulan pelampau Buddha, manakala seorang anggota polis turut dilaporkan dibunuh.
Kejadian itu menyebabkan ramai penduduk Rohingya berada dalam ketakutan dan sedang menimbang sama ada untuk meninggalkan Rakhine atau menghantar ahli keluarga ke tempat lain sekiranya keganasan berulang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140206/lu_04/Pertubuhan-antarabangsa-bela-Rohingya-didakwa-berat-sebelah#ixzz2sUhC3rA6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday 3 February 2014

Polis Myanmar didakwa bakar rumah Rohingya


Kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu menyebabkan 16 hingga 22 buah rumah musnah. - AGENSI
NAYPYIDAW 2 Feb. - Seorang anggota Parlimen Myanmar mendakwa polis di daerah Maungdw mendalangi kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu, menyaksikan antara 16 dan 22 buah rumah etnik Rohingya musnah dibakar.
Shwe Maung yang mewakili kawasan Parlimen Buthidaung berkata, lelaki Rohingya ditugaskan mengawal tiga buah kampung di daerah itu memandangkan kebanyakan penduduknya terdiri daripada wanita.
''Pada 28 Januari lalu, penduduk tempatan dimaklumkan bahawa polis akan mengambil alih tugas berkawal di Duchira Dan-Barat. Pada malam itu, rumah-rumah di perkampungan itu habis dibakar. Ia berlaku selepas polis mengambil alih kawalan keselamatan di sana,'' katanya dalam temubual dengan laman web agensi berita DVB, tiga hari lalu.
Shwe Maung mendakwa beliau turut mempunyai maklumat kukuh daripada penduduk tempatan yang tinggal berdekatan perkampungan itu bahawa mereka menyaksikan polis sendiri memulakan kebakaran berkenaan.
''Ketika api semakin marak, polis menghalang penduduk cuba memadam kebakaran tersebut.
''Jika polis tidak mendalangi kebakaran tersebut pun, mereka masih bertanggungjawab dan bersubahat dalam kejadian itu,'' dakwa Shwe Maung.
Jurucakap polis Maungdaw, Brigadier Tin Ko Ko menafikan dakwaan itu dengan menyatakan kebakaran tersebut dilakukan sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Kerajaan Myanmar semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas Shwe Maung berhubung pendedahannya itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140203/lu_09/Polis-Myanmar-didakwa-bakar-rumah-Rohingya#ixzz2sCoMzE1V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday 1 February 2014

Rohingya dilayan seperti haiwan


Gambar tidak bertarikh menunjukkan, sebahagian penduduk kampung dan ahli keluarga memerhatikan jenazah seorang lelaki Rohingya Islam yang maut ditembak oleh polis di negeri Rakhine, barat Myanmar. - Agensi
NAYPYIDAW 31 Jan. - Myanmar dilapor telah memulakan operasi pembersihan etnik Rohingya Islam apabila seorang saksi yang terselamat mendakwa, sebanyak 700 wanita dan kanak-kanak dibawa menaiki beberapa trak tentera ke lokasi yang tidak dinyatakan dalam satu kejadian pada 22 Januari lalu.
Menurut saksi itu, Aisha, kepada badan kebajikan Partners Relief Development (PRAD), dia melihat banyak trak tentera membawa askar dan anggota kumpulan pelampau bersama senjata api dan belantan memasuki kampungnya, Killadong Majarpara, di barat Myanmar yang didiami lebih 2,500 orang etnik tersebut.
"Ketika saya melarikan diri, kumpulan askar dan anggota pelampau memukul dan membunuh penduduk kampung. Saya mendengar berita setakat ini bahawa 700 wanita dan kanak-kanak dibawa ke satu lokasi yang dirahsiakan.
"Saya bertemu semula ibu, ayah, isteri dan tujuh orang anak saya keesokan harinya dan mengupah sebuah bot untuk membawa kami dari pantai Myanmar ke selatan Bangladesh, namun anak perempuan saya yang berumur dua tahun hilang ketika dalam perjalanan,'' katanya.
Aisha berkata, dia kemudian merayu kepada pihak berkuasa Bangladesh supaya dia dapat berteduh di sebuah kem pelarian tidak berdaftar di Cox's Bazar yang diduduki sekurang-kurangnya 100,000 pelarian Rohingya Islam lain.
Katanya, dia dapat melihat kampungnya itu musnah terbakar, malam kelmarin.
"Saya ada menghubungi adik lelaki saya yang masih terperangkap di sempadan Myanmar dan dia mengesahkannya. Saya juga dapat melihat kampung saya terbakar dari kem ini kerana jaraknya hanya sejauh 28 kilometer dari sini,'' katanya.
Seorang aktivis Rohingya yang enggan dikenali pula menyatakan, anggota etnik tersebut dilayan seperti haiwan.
"Saya merasa sangat takut. Kami tidak mempunyai sebarang perlindungan di negara ini. Kerajaan kami sendiri menindas kami,'' katanya seperti yang dilaporkan laman web akhbar Burma Times.
Etnik Rohingya Islam sering menjadi mangsa penindasan pihak berkuasa Myanmar dengan ada antara wanita dan gadis dirogol serta dibunuh dengan kejam.
Tahun lalu, saluran televisyen BBC melaporkan, kanak-kanak Rohingya Islam dibakar hidup-hidup ketika konflik agama dan etnik itu merebak ke tengah Myanmar.
Kebanyakan serangan itu turut dirakam di hadapan anggota polis Myanmar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140201/lu_03/Rohingya-dilayan-seperti-haiwan#ixzz2s1YXrmvU
© Utusan Melayu (M) Bhd