Thursday 6 February 2014

Pertubuhan antarabangsa bela Rohingya didakwa berat sebelah


Gambar fail bertarikh 15 November tahun lalu, menunjukkan sekumpulan sami Buddha berarak bagi menyatakan bantahan terhadap kunjungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar bagi menilai situasi masyarakat Rohingya Islam di Yangon. - REUTERS
YANGON 5 Feb. - Kira-kira 3,000 penduduk tempatan membanjiri jalan-jalan di Sittwe, di negeri Rakhine, barat Myanmar, kelmarin bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan polis serta mengadakan bantahan terhadap etnik Rohingya dan pertubuhan antarabangsa yang memihak kepada masyarakat Islam itu.
Bantahan itu diketuai kumpulan Rakhine Social Network dan disertai penduduk yang menuntut supaya kumpulan etnik itu tidak diberi hak mengundi serta mendesak pengunduran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain daripada kawasan itu.
Selain itu, mereka turut meminta supaya anggota polis dibenarkan untuk menggunakan kekerasan dalam keadaan kecemasan.
"Kami mahu anggota polis diberi senjata canggih supaya mereka boleh mempertahankan diri dengan lebih berkesan.
"Kami juga menuntut supaya pihak polis diberi kuasa untuk melepaskan tembakan mengikut budi bicara mereka," kata seorang penganjur bantahan, Nyo Aye.
Kumpulan itu turut mendesak supaya badan-badan antarabangsa diusir keluar dari Rakhine atas dakwaan berat sebelah dan lebih memihak kepada etnik Rohingya untuk bantuan kemanusiaan berbanding penduduk tempatan lain.
Namun begitu, ketika dihubungi, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Doctors Without Borders (MSF) enggan mengulas tentang perkara tersebut.
Aye berkata, bantahan itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan turut diadakan di bahagian lain dalam negeri berkenaan, termasuk Mrauk-U, Kyauktaw, Minbya dan Maungdaw.
Dalam pada itu, beberapa sumber memberitahu, berpuluh-puluh keluarga etnik Rohingya di Sittwe telah meninggalkan kediaman mereka untuk mengelakkan sebarang kejadian ganas.
Bulan lalu, PBB mengumumkan tentang penemuan bukti kukuh berhubung pembunuhan 48 lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada etnik Rohingya di perkampungan Duchira Dan oleh kumpulan pelampau Buddha, manakala seorang anggota polis turut dilaporkan dibunuh.
Kejadian itu menyebabkan ramai penduduk Rohingya berada dalam ketakutan dan sedang menimbang sama ada untuk meninggalkan Rakhine atau menghantar ahli keluarga ke tempat lain sekiranya keganasan berulang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140206/lu_04/Pertubuhan-antarabangsa-bela-Rohingya-didakwa-berat-sebelah#ixzz2sUhC3rA6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment