Saturday 8 February 2014

Kes tembak Aye Maung dipercayai berkaitan konflik Myanmar


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kes cubaan membunuh dengan menembak Ahli Parlimen dari Myanmar, Dr. Aye Maung di Bukit Bintang kelmarin, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap siasatan yang dikendalikan beliau berkaitan konflik di antara penganut Islam dan Buddha di Rakhine dan Yangon, Myanmar.
Menurut sumber, Aye Maung merupakan Pengerusi Parti Pembangunan Warganegara Rakhine (RNDP) yang ditubuhkan kerajaan Myanmar bagi menyiasat konflik agama di negara itu.
Bagaimanapun, kata sumber, difahamkan beliau yang diberi tanggungjawab untuk mengendali isu itu gagal bersikap adil dan dikatakan berat sebelah.
"Atas faktor itu, dipercayai ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap perjalanan siasatan konflik tersebut, termasuk dalam kalangan warga Myanmar yang berada di negara ini.
"Sebelum ini, terdapat maklumat yang menyatakan penduduk Rohingya di negara ini merancang untuk membuat demonstrasi bantahan terhadap lawatan Ahli Parlimen itu," kata sumber itu.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin, Aye Maung bersama Ketua Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thar Aung nyaris terbunuh selepas dua lelaki bersenjatakan pistol melepaskan enam das tembakan ke arah kereta BMW 7 siri yang dinaiki di Jalan Alor, Bukit Bintang, di sini.
Kesemua tembakan tersebut hanya terkena cermin kiri penumpang, bumbung kereta, but dan bahagian bawah plet kereta yang turut dinaiki oleh dua lagi orang kanan kedua-dua pemimpin itu.
Sumber turut memberitahu, suspek yang melepaskan enam das tembakan dalam cubaan membunuh Aye Maung kelmarin dipercayai rakyat Myanmar dari Rohingya.
Difahamkan, Aye Maung telah pulang ke negara asalnya pada pukul 3 petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan konflik yang melanda Myanmar menjadi punca kedua-dua ahli politik itu menjadi sasaran pembunuh.
"Kita percaya kejadian itu memang ada kaitan dengan isu negara mereka dan pihak kami juga percaya ia turut dilakukan oleh suspek yang berasal dari Myanmar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek masih belum ditahan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberi maklumat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140208/je_03/Kes-tembak-Aye-Maung-dipercayai-berkaitan-konflik-Myanmar#ixzz2sgFWYTuJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment