Monday 24 February 2014

Utusan PBB tidak berpuas hati


PBB tidak berpuas hati dengan siasatan oleh kerajaan Myanmar yang menyatakan tiada keganasan berlaku ke atas penduduk Kampung Du Chee Yar Tan di negeri Rakhine. - AGENSI
YANGON 23 Feb. - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tomás Quintana (gambar) menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap siasatan kerajaan Myanmar berhubung keganasan di bahagian Maungdaw di negeri Rakhine pada bulan lalu, dan mengulangi desakan supaya siasatan bebas dan tidak berat sebelah diadakan.
Laman web akhbar Burma Times melaporkan walau pun kerajaan Myanmar memberi jaminan tiada kematian berlaku ketika serbuan polis di perkampungan Du Chee Yar Tan pada Januari lalu, Quintana masih menerima maklumat tentang pencabulan hak asasi yang berlaku sewaktu kejadian itu.
"Ini termasuk dakwaan pembunuhan ke atas penduduk lelaki, wanita dan kanak-kanak, pencabulan seks terhadap wanita, kecurian dan pembakaran harta benda.
"Sehingga kini, siasatan dalam negeri yang dijalankan gagal memberi perhatian terhadap dakwaan-dakwaan terbabit," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, baru-baru ini.
Sebelum ini, Presiden Myanmar, Thein Sein telah mengarahkan Suruhanjaya Hak Asasi Myanmar menyiasat keganasan yang berlaku dalam serbuan itu selepas beberapa kali didesak oleh PBB dan komuniti antarabangsa.
Quintana memberi amaran, sekiranya hasil siasatan tidak menepati piawaian antarabangsa, beliau akan mengarahkan Majlis Hak Asasi PBB untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendedahkan kebenaran dalam kejadian itu.
Serangan ganas itu berlaku apabila pasukan polis bersenjata dan penganut Buddha Rakhine menyerbu kawasan penempatan etnik Rohingya untuk mencari seorang pegawai polis, Sarjan Aung Kyaw Thein yang dilaporkan hilang, selepas lapan lelaki Rohingya didakwa dibunuh oleh penganut Buddha, beberapa hari sebelum itu.
Menurut kenyataan kerajaan, Kyaw Thein diserang penduduk Islam di Kampung Du Chee Yar Tan, dan mayatnya masih belum ditemui.
Jumlah korban dalam serbuan itu masih belum diketahui, bagai mana pun, kumpulan hak asasi, Fortify Rights melaporkan, seramai 40 orang terkorban dalam insiden berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_03/Utusan-PBB-tidak-berpuas-hati#ixzz2uBk0vSfO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment