Friday 14 February 2014

1,300 Rohingya dihantar pulang


BANGKOK 13 Feb. - Pihak berkuasa Thailand menghantar pulang kira-kira 1,300 pelarian etnik Islam Rohingya kembali ke Myanmar lewat tahun lalu, tindakan yang mengabaikan gesaan kumpulan hak asasi manusia yang melarang kumpulan minoriti itu dihantar pulang ke negara asal yang melakukan diskriminasi ke atas mereka.
Leftenan Jeneral Pharnu Kerdlarpphon hari ini berkata, penghantaran pulang etnik berkenaan dilakukan dari September hingga November lalu dan pengumuman mengenainya hanya dikeluarkan pada minggu ini.
Katanya, kesemua pencari suaka politik berkenaan ditempatkan di pusat tahanan dan perlindungan di seluruh negara ini.
"Penghantaran pulang mereka ini dilakukan secara sukarela, kami menghantar antara 100 ke 200 orang pada satu-satu masa.
"Kebanyakan etnik Rohingya memberitahu bahawa mereka tidak dapat melihat masa depan mereka di Thailand dan memilih untuk kembali ke Myanmar," jelas Pharnu kepada AP.
Penduduk Islam Rohingya sering berdepan dengan diskriminasi di Myanmar, di mana setakat ini beribu-ribu orang terkorban dan lebih 140,000 lagi kehilangan tempat perlindungan sejak dua tahun lalu dalam keganasan agama yang berlaku di negara tersebut
Sehingga akhir Januari lalu, lebih 1,700 penduduk Islam Rohingya ditahan di Thailand, selepas bot yang mereka naiki terkandas di selatan negara ini.
Tambah Pharnu, lapan orang Islam Rohingya yang ditahan meninggal dunia selepas diserang penyakit, manakala sebahagian lagi melarikan diri atau dihantar pulang ke Bangladesh.
Kumpulan hak asasi manusia mengesa Thailand mengakses Islam Rohingya dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) supaya status pelarian mereka boleh diperiksa, sambil melahirkan rasa kebimbangan tentang keselamatan etnik ini selepas dihantar pulang ke Myanmar.
"Penghantaran pulang (etnik Rohingya) kembali ke Myanmar bermakna menghantar mereka ke tempat yang berbahaya, di mana mereka akan dianiaya dan di dera," kata penyelidik hak asasi manusia, Sunai Phasuk. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140214/lu_04/1300-Rohingya-dihantar-pulang#ixzz2tErnOPkn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment