Monday 3 February 2014

Polis Myanmar didakwa bakar rumah Rohingya


Kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu menyebabkan 16 hingga 22 buah rumah musnah. - AGENSI
NAYPYIDAW 2 Feb. - Seorang anggota Parlimen Myanmar mendakwa polis di daerah Maungdw mendalangi kebakaran di perkampungan Duchira Dan yang didiami penduduk etnik Rohingya pada 28 Januari lalu, menyaksikan antara 16 dan 22 buah rumah etnik Rohingya musnah dibakar.
Shwe Maung yang mewakili kawasan Parlimen Buthidaung berkata, lelaki Rohingya ditugaskan mengawal tiga buah kampung di daerah itu memandangkan kebanyakan penduduknya terdiri daripada wanita.
''Pada 28 Januari lalu, penduduk tempatan dimaklumkan bahawa polis akan mengambil alih tugas berkawal di Duchira Dan-Barat. Pada malam itu, rumah-rumah di perkampungan itu habis dibakar. Ia berlaku selepas polis mengambil alih kawalan keselamatan di sana,'' katanya dalam temubual dengan laman web agensi berita DVB, tiga hari lalu.
Shwe Maung mendakwa beliau turut mempunyai maklumat kukuh daripada penduduk tempatan yang tinggal berdekatan perkampungan itu bahawa mereka menyaksikan polis sendiri memulakan kebakaran berkenaan.
''Ketika api semakin marak, polis menghalang penduduk cuba memadam kebakaran tersebut.
''Jika polis tidak mendalangi kebakaran tersebut pun, mereka masih bertanggungjawab dan bersubahat dalam kejadian itu,'' dakwa Shwe Maung.
Jurucakap polis Maungdaw, Brigadier Tin Ko Ko menafikan dakwaan itu dengan menyatakan kebakaran tersebut dilakukan sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Kerajaan Myanmar semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas Shwe Maung berhubung pendedahannya itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140203/lu_09/Polis-Myanmar-didakwa-bakar-rumah-Rohingya#ixzz2sCoMzE1V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment