Myanmar cuba kendur ketegangan
Tentera Myanmar membuat rondaan di wilayah bergolak Laukkai.
YANGON - MYANMAR . Myanmar menyatakan kekesalan selepas sebuah pesawat perangnya didakwa menggugurkan sebutir bom di wilayah Yunnan dan membunuh lima warga China, minggu lalu.

"Kami amat kesal dengan kematian lima warga China yang tinggal di kawasan sempadan," kata kerajaan Myanmar dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar Global New Light of Myanmar, semalam.

Kenyataan itu turut menyebut, kedua-dua negara sedang bekerjasama bagi menyiasat punca kejadian yang mengeruhkan hubungan Beijing-Naypyidaw itu.

Minggu lalu, China memberi amaran akan mengambil tindakan tegas jika terdapat serangan berulang dari pasukan keselamatan Myanmar ke dalam wilayahnya.

Kenyataan itu dibuat selepas bom yang dilepaskan pesawat Myanmar jatuh ke wilayah China dan membunuh lima rakyat negara itu.

Bagaimanapun, Myanmar menafikan insiden bom berkenaan dan memberitahu pemberontak mungkin melepaskan tembakan ke arah China untuk mewujudkan salah faham.

China dan Myanmar berkongsi sempadan sejauh 2,000 kilometer dengan sebahagian besar adalah kawasan pedalaman yang sukar diakses. - Channel News Asia