PRESIDEN Thein Sein (tengah), menyaksikan majlis menandatangani draf gencatan senjata antara wakil UPCW dan NCCT di Pusat Perdamaian Myanmar di Yangon, semalam. AFP
YANGON 31 Mac – Kerajaan Myanmar dan 16 buah kumpulan pemberontak hari ini menandatangani draf perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan konflik bersenjata di negara ini sejak 65 tahun lalu.
Majlis memeterai perjanjian antara pasukan perunding kerajaan, Jawatankuasa Kerja Perpaduan Keamanan (UPWC) dan Pasukan Penyelarasan Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCCT) yang mewakili 16 kumpulan etnik bersenjata itu, disaksikan Presiden Myanmar, Thein Sein.
Thein Sein berkata, draf perjanjian antara NCCT dan UPWC akan membuka laluan kepada pelaksanaan dialog politik.
“Saya gembira apabila dua pihak ini akhirnya bersetuju menandatangani draf perjanjian,” katanya.
Perjanjian gencatan senjata tersebut jika berjaya dilaksanakan, akan menandakan kejayaan besar dalam konflik berkenaan selain membolehkan rundingan politik diadakan antara kerajaan dan kumpulan etnik yang mahu wilayah autonomi diwujudkan.
Penasihat Kanan Pusat Perdamaian Myanmar, Hla Maung Shwe berkata, jika semuanya berjalan lancar, Perjanjian Gencatan Senjata Seluruh Negara itu akan ditandatangani oleh pemimpin utama kumpulan etnik di Naypyitaw pada Mei ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan draf perjanjian tersebut sebagai satu kejayaan dan bersejarah selain langkah pertama kepada rundingan politik.
“Perjanjian yang dicapai hari ini merupakan tanda kepercayaan dan keyakinan serta kerjasama yang boleh dicapai antara dua pihak bertelagah dan menjadi benih perubahan di Myanmar,’’ kata Penasihat Khas PBB berhubung Myanmar, Vijay Nambiar dalam satu kenyataan.
Majlis berkenaan merupakan pertemuan terkini daripada tujuh rundingan berhubung perjanjian tersebut sejak 2013.
Kerajaan menyasarkan perjanjian gencatan senjata dicapai sebelum pilihan raya umum diadakan pada November ini. – Reuters
No comments:
Post a Comment