Sunday 7 September 2014

Myanmar rancang bangun Rakhine


Lakaran zon ekonomi khas, Kyauk Phyu di negeri Rakhine di barat Myanmar. - AGENSI
YANGON 6 Sept. - Kerajaan Myanmar mempelawa syarikat asing dan tempatan untuk membida projek pembangunan zon ekonomi khas, Kyauk Phyu di negeri bergolak Rakhine di barat Myanmar, yang menyaksikan keganasan agama antara etnik Islam Rohingya dan penduduk Buddha pada 2012.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zon Kyauk Phyu, Maung Maung Thein berkata, sebuah pelabuhan yang mempunyai kedalaman sehingga 16 meter yang mempunyai kapasiti pengendalian kontena sebanyak 8,000 unit bersamaan 20 kali akan turut dibangunkan di kawasan itu.
"Tender akan dibuka pada 15 September ini dan kami akan membuat pemilihan (pemenang tender) pada penghujung Disember ini, '' kata Maung Thein.
Katanya, pembinaan zon industri seluas 1,500 hektar itu di pulau Yanbyae akan bermula pada awal 2015.
Projek itu dijangka melibatkan kos permulaan lebih AS$200 juta (RM960 juta) dengan infrastruktur logistik awal adalah sebuah pelabuhan dengan infrastruktur jalan raya dibangunkan pada fasa berikutnya.
"Kami membina zon ekonomi khas ini bertujuan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di sini, '' katanya.
Industri-industri sasaran pada peringkat awal adalah tekstil, bahan-bahan pembinaan, pemprosesan makanan dan perkilangan.
Myanmar dilihat cuba membangunkan ekonomi dan infrastrukturnya selepas beberapa dekad terpinggir dan menerima sekatan antarabangsa.
Rakhine sebagai sebuah negeri miskin pula menyaksikan konflik antara penduduk Buddha dan Islam pada 2012 mengakibatkan lebih 160 orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk yang lain kehilangan tempat tinggal. - DPA


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment