Thursday 27 March 2014

Arahan Rakhine sepanjang bancian PBB timbulkan persoalan


Gambar bertarikh 26 Februari lalu, menunjukkan dua wanita Rohingya Islam menyediakan makanan ketika seorang bayi nyenyak tidur di dalam buai beralaskan plastik di pinggir Sittwe, Rakhine, barat Myanmar. - AFP
YANGON 26 Mac - Kerajaan negeri Rakhine di Myanmar meminta pemimpin-pemimpin Islam di ibu negeri Sittwe supaya menggesa penduduk Rohingya Islam, tidak mengisi ruang ‘bangsa’ di dalam borang bancian dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika proses itu bermula, semalam.
Menurut pihak berkuasa, tindakan etnik Rohingya mendedahkan identiti mereka boleh mencetuskan tindak balas ganas dari penganut agama Buddha di wilayah bergolak tersebut.
Burma Times melaporkan, pihak berkuasa termasuk pemimpin polis, Kolonel Tun Oo mengadakan pertemuan dengan pemimpin komuniti Islam pagi semalam dengan memaklumkan kepada mereka bahawa permintaan itu dibuat bagi meredakan ketegangan di situ.
Penduduk Buddha di Rakhine sebelum ini mengadakan bantahan terhadap bancian yang diadakan di Sittwe minggu ini, proses bancian pertama sejak 30 tahun.
Mereka membantah proses bancian tajaan PBB itu kerana akan membenarkan penduduk Rohingya mendedahkan etnik mereka, suatu perkara yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan dan penduduk Buddha di Rakhine.
Kerajaan Myanmar merujuk etnik Rohingya sebagai ‘Benggali’, membayangkan mereka adalah pendatang tanpa izin dari Bangladesh.
Bercakap kepada akhbar The Irrawaddy semalam, Tun Oo berkata, oleh kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan rasmi berhubung prosedur bancian, pihak berkuasa tempatan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Islam sebagai cara memujuk penduduk Islam mematuhi permintaan tersebut.
“Kerajaan kami malah Menteri Imigresen, Khin Yi tidak boleh secara rasmi menyatakan (permintaan) supaya tidak meletakkan nama ‘Rohingya’ pada bancian itu yang merupakan proses mengikut standard antarabangsa," kata beliau.
Beberapa pemimpin Rohingya Islam termasuk aktivis, Aung Win melahirkan kekecewaan berhubung permintaan pihak berkuasa itu yang mengingkari jaminan yang diberikan Khin Yi bahawa Rohingya patut dibenarkan mendedahkan identiti mereka.
Permintaan pihak berkuasa Rakhine itu turut menimbulkan persoalan mengapa etnik Rohingya Islam tidak dibenarkan berbuat demikian.
Dalam perkembangan berasingan, ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa Myanmar supaya menghentikan diskriminasi ke atas etnik minoriti Rohingya dengan menekankan hak asasi manusia amat penting untuk negara itu mencapai pembaharuan demokrasi.
Gesaan itu dibuat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Kongres yang meluluskan resolusi meminta Myanmar ‘menghentikan semua bentuk penindasan’ ke atas etnik Rohingya yang masih belum mendapat pengiktirafan kerakyatan oleh negara tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140327/lu_01/Arahan-Rakhine-sepanjang-bancian-PBB-timbulkan-persoalan#ixzz2x74ByNgP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment