Saturday 1 March 2014

Badan perubatan diarah henti operasi di Rakhine


Gambar tidak bertarikh menunjukkan seorang doktor dari pertubuhan Doctors Without Borders, memeriksa seorang kanak-kanak yang mengalami cirit-birit di sebuah klinik tempatan di pinggir Pauk Taw, Rakhine, Myanmar. - AGENSI
YANGON 28 Feb. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Myanmar membenarkan agensi kemanusiaan ‘memiliki akses penuh’ di negeri Rakhine, selepas menerima laporan kerajaan mengarahkan kumpulan bantuan perubatan yang mengelarkan diri mereka sebagai Doctors Without Borders (MSF) menghentikan operasi.
Kumpulan yang pernah memenangi anugerah Nobel itu telah menyalurkan bantuan kebanyakannya kepada masyarakat Rohingya Islam, yang berhadapan dengan pembersihan etnik oleh kerajaan Myanmar.
"Kebebasan dan akses yang terbuka adalah penting bagi memastikan bantuan kemanusian dapat disalurkan dengan baik kepada penduduk di negeri Rakhine," kata seorang pegawai Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap kerajaan Ye Htut memberitahu media, MSF sudah diarahkan supaya memberhentikan operasi mereka, dengan menuduh kumpulan tersebut melakukan dakwaan palsu terhadap kerajaan kerana melakukan kekejaman ke atas penduduk Rohingya Islam pada pertengahan Januari lalu.
PBB dan kumpulan hak asasi manusia melaporkan, sekurang-kurangnya 40 orang penduduk Rohingya dibunuh oleh pasukan keselamatan dan penganut Buddha di barat negeri itu.
Menurut MSF, pada 24 Januari lalu, mereka telah merawat 22 orang penduduk di kawasan berkenaan, dengan ada di antara mereka mengalami kecederaan akibat ditembak, ditikam dan ditumbuk.
Sementara itu, seorang diplomat yang enggan mendedahkan identiti dirinya memberitahu Reuters, MSF sedang berunding dengan pegawai di ibu negeri Naypyitaw, selepas pertubuhan itu diarah menghentikan operasi lewat semalam.
Kerajaan Myanmar sering kali menolak laporan yang didedahkan oleh MSF, PBB dan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa perkampungan Rohingya di Maungdaw diserang dengan rumah mereka turut dirompak. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_03/Badan-perubatan-diarah-henti-operasi-di-Rakhine#ixzz2uegihxYX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment