Saturday 8 March 2014

Tentera didakwa seludup pelarian



BEBERAPA pelarian Rohingya duduk di atas sebuah van polis selepas ditahan di selatan Thailand. - AP


BANGKOK - Sebuah pertubuhan hak asasi antarabangsa semalam menggesa pihak berkuasa Thailand menyiasat penglibatan tentera lautnya menyeludup pelarian Rohingya dari Myanmar dan bukan mendakwa wartawan-wartawan kerana melaporkan perbuatan tersebut.
Tentera Laut Thailand mengemukakan dakwaan fitnah terhadap laman web bahasa Inggeris, Phuketwan akhir tahun lalu kerana menyiarkan laporan bahawa pihak tentera terlibat dalam sindiket penyeludupan etnik Rohingya dari Myanmar.
Dua wartawan dari media tersebut akan dipanggil oleh pihak pendakwa raya Isnin depan dengan mereka mungkin didakwa kerana menerbitkan maklumat palsu dan memfitnah tentera.
Mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda 100,000 baht jika didapati bersalah.
Pertubuhan tersebut, Human Rights Watch menyatakan, pihak tentera laut perlu menghentikan usaha untuk menutup mulut kedua-dua wartawan itu.
"Tentera sebaliknya perlu membenarkan pihak berkuasa awam melakukan siasatan menyeluruh dan telus berhubung dakwaan penyeludupan dan layanan buruk terhadap orang hanyut Rohingya," kata Human Rights Watch dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa tahun lalu, Phuketwan memainkan peranan utama dalam melaporkan penderitaan etnik minoriti Islam Rohingya yang melarikan diri daripada dibunuh, diseksa dan kemiskinan di Myanmar. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2vJx8Ssua 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment