Thursday 13 March 2014

5 warga Myanmar dituduh culik, kurung, peras


Lima warga Myanmar yang menghadapi tuduhan culik, kurung dan peras dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ZUHARMAN MOHAMAD NOR
KOTA BHARU 12 Mac - Lima lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menculik, mengurung dan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dikenali mereka, bulan lalu.
Bagaimanapun, hanya tertuduh pertama, Muhamad Osman Muhamad, 23, dan tertuduh ketiga, Mohamad Rashid Abd. Basir, 28, memahami pertuduhan dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Pertuduhan bagaimanapun tidak dibacakan terhadap tiga lagi tertuduh iaitu, Nor Salam Mohd. Huson, 28, Nur Bashor Dudu Miya, 23, dan Abdul Nasar Dodo Miya, 37, kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menculik Zahid Hussin Idris, 30, dengan tujuan hendak mengurung mangsa di Kampung Bendang Selinsing, Pasir Puteh pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa dan memeras hartanya antara pukul 9 malam hari yang sama dan 9.30 malam, 27 Februari di Kampung Sedar, Tumpat.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 347 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.
Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan pemerasan yang menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan dan mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM9,800.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 kanun tersebut yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari dan tiada jaminan dicadangkan dengan alasan kesemuanya bukan warganegara Malaysia.
Mahkamah menetapkan 30 Mac depan bagi sebutan semula kes terhadap kedua-dua tertuduh dengan khidmat jurubahasa Myanmar untuk membacakan pertuduhan kepada tiga lagi tertuduh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140313/ma_01/5-warga-Myanmar-dituduh-culik-kurung-peras#ixzz2vmjY6jDa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment