Thursday 29 May 2014

Myanmar cadang sekat pertukaran agama


YANGON 28 Mei - Kerajaan Myanmar sedang menimbangkan cadangan untuk menguatkuasakan sekatan ke atas pertukaran agama, berdasarkan draf rang undang-undang baharu yang didedahkan kepada media, semalam.
Sekatan untuk menukar agama merupakan sebahagian daripada draf undang-undang yang dicadangkan oleh Presiden Myanmar, Thein Sein hasil kempen pelaksanaan undang-undang tersebut yang dikelola oleh sami-sami Buddha.
Bagaimanapun, draf undang-undang yang dicadangkan oleh Kementerian Agama itu, yang menyaksikan seseorang yang mahu menukar agama perlu mendapatkan kebenaran daripada jawatan kuasa khas peringkat kerajaan tempatan, masih belum dibentangkan di Parlimen.
"Mana-mana pihak dilarang menukar agama dengan niat untuk menghina, menjatuhkan, memusnahkan atau menyalahgunakan mana-mana agama lain," lapor akhbar tempatan The Mirror.
Menurut The Mirror, draf tersebut turut memperuntukkan mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah undang-undang itu boleh dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.
Agama sering menjadi isu sensitif di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Buddha, yang menyaksikan berlakunya keganasan ke atas penduduk Islam dengan lebih 250 orang terbunuh sejak dua tahun lalu.
Kerajaan juga dilaporkan akan mengenakan sekatan ke atas perkahwinan antara agama.
Kumpulan hak asasi menyifatkan sekatan tersebut menjejaskan kebebasan beragama dan hak kaum wanita.
"Walaupun undang-undang ini tidak memenuhi kemahuan kami, namun kami menerimanya kerana ia boleh dianggap sebagai pelindung kepada kami," kata sami Wirathu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140529/lu_07/Myanmar-cadang-sekat-pertukaran-agama#ixzz333Lp2Exl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment