Wednesday 28 May 2014

Lelaki Myanmar maut jatuh bangunan

Lelaki terbabit yang maut dalam kejadian semalam.
Lelaki terbabit yang maut dalam kejadian semalam.
KOTA BHARU- Seorang lelaki warganegara Myanmar maut selepas nekad melarikan diri dari tingkat tiga bangunan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menggunakan kain cadar hospital di sini pagi kelmarin.

Lelaki terbabit yang merupakan pendatang tanpa izin ditemui orang awam tertiarap di belakang bangunan hospital berkenaan kira-kira jam 7.05 pagi.

Sebelum kejadian, pada jam 4 pagi, mangsa Mohamed Hashim, 43, dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan cadar yang diikat untuk turun melalui tingkat tiga tempat dia menerima rawatan di hospital itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa telah dimasukkan ke salah sebuah wad di hospital berkenaan sejak Mei lalu selepas disahkan menghidap penyakit Tibi serta positif HIV.

Menurut beliau, mangsa dipercayai cuba melarikan diri dengan menggunakan kain cadar yang diikat untuk turun ke bawah bangunan hospital, bagaimanapun cadar itu telah terputus.

“Akibatnya, lelaki berkenaan telah terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian muka serta kepala.

“Mangsa telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan memasuki ke negara secara haram dan ditahan di Depoh Imigresen, bagaimanapun dia kemudian dimasukkan ke hospital atas faktor kesihatan,`` katanya di sini.

Beliau berkata, mangsa di bawah penahanan Jabatan Imigresen dan menunggu pengusiran.

Azham memberitahu, sebelum kejadian jururawat yang datang untuk memeriksa tekanan darah dan suhu badan mangsa mendapati dia berada di wadnya kira-kira jam 4 pagi namun bertindak melarikan diri selepas diperiksa tekanan darahnya.

No comments:

Post a Comment