Adama Dieng yang juga penasihat khas kepada Setiausaha Agung PBB berkata, diskriminasi tersebut boleh menjurus kepada pembunuhan beramai-ramai jika tidak dibendung.
“Justeru, menjadi harapan kami untuk melihat pentadbiran baharu di Myanmar memandang serius isu diskriminasi terhadap penduduk Rohingya, setelah hak dan identiti mereka dinafikan oleh pihak kerajaan.
“Kami khuatir jika perkara (diskriminasi) ini tidak dihentikan, ia boleh membawa kepada tragedi pembunuhan beramai-ramai,” katanya ketika menghadiri satu mesyuarat khas berkaitan peranan pemimpin agama di Afrika dalam menentang keganasan dan ekstremisme.
Rohingya merupakan etnik minoriti Islam di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Bagaimanapun, kerajaan negara itu tidak mengiktiraf mereka sebagai etnik asal Myanmar sehingga kini.
Sebaliknya, Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram Benggali dari Bangladesh yang cuba mendapatkan kerakyatan dan hak sebagai penduduk asal di situ.
Dieng turut menggesa Kaunselor Myanmar yang baharu dilantik, ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi supaya menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan tujuan tersebut.
“Suu Kyi telah meminta Duta Amerika Syarikat (AS) yang baharu di Myanmar supaya tidak lagi menggunakan nama Rohingya. Ini bermakna, diskriminasi terhadap penduduk minoriti itu dilihat masih berterusan,” kata Dieng.
Walaupun perjuangan Suu Kyi pernah diiktiraf atas pelbagai usaha yang dilakukannya, namun wanita itu kini terpaksa menerima kritikan demi kritikan disebabkan kegagalannya menangani isu membabitkan penduduk Rohingya yang kini berjumlah lebih satu juta orang. – Agensi