Monday 28 November 2016

Rohingya: Suara mereka yang dipinggirkan


Dunia terlalu lambat bertindak, kekejaman tentera Myanmar luar batasan

MOWARDI MAHMUD  |  28 November 2016 12:30 AM
PERNAH dikatakan bahawa dunia berada di penghujung usianya apabila manusia sendiri sudah tidak tahu kenapa dia dibunuh. Hakikat ini jelas dapat dilihat antaranya di Myanmar, nyawa manusia bagaikan tiada harga lagi.

Kekejaman yang melanda penduduk minoriti Islam Rohingya, tidak ubah seperti umat Islam Palestin di Gaza. Lebih malang lagi, rintihan mereka seolah-olah langsung tidak didengari di pentas antarabangsa.

Tiada siapa terutamanya negara-negara kuasa besar dunia yang tampil memperjuangkan hak penduduk minoriti Islam yang paling tertindas.

Ketiadaan pemerhati antarabangsa di Myanmar menjadikan nasib mereka terus terpinggir dan pada masa sama kesengsaraan bagaikan bertimpa-timpa dan pelbagai alasan yang diberikan kerajaan negara itu untuk menghalalkan tindakan buruk tentera mereka.

Hari-hari seterusnya bakal menjadi lebih buruk buat penduduk Islam Rohingya apabila pihak kerajaan Mynmar dikatakan merancang melatih dan membekalkan senjata kepada penduduk-penduduk bukan Islam sekali gus akan menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai.

Tidak menghairankan jika langkah berkenaan dilakukan sebagai satu usaha pihak tentera sendiri supaya mereka dapat ‘cuci tangan’ daripada dipertanggungjawabkan terhadap sebarang pembunuhan yang dibuat atas nama mempertahankan diri.

Perkara ini seharusnya dihalang daripada berlaku kerana tidak dinafikan ia mampu mengundang satu malapetaka kemanusiaan.

Apatah lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini sendiri meramalkan keadaan semasa akan menjadi lebih buruk buat penduduk-penduduk Islam Rohingya.

Menurut Human Right Watch (HRW), lebih 1,200 buah rumah telah dibakar sejak enam minggu lalu ketika tentera Myanmar sedang me­lakukan operasi keselamatan.

Ketika ini, PBB melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar ketika angka sebenar dijangka lebih besar lagi.

Kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar sepatutnya dikenakan tindakan sewajarnya oleh dunia. Malangnya, kuasa Barat lebih mementingkan kepentingan diri mereka dalam negara ini yang baru membuka pintu ekonominya, sekali gus menyebabkan mereka bersikap menutup sebelah mata terhadap kezaliman yang berlaku. Begitu juga dengan Pertubuhan Persida­ngan Islam (OIC) dan juga negara-negara anggota ASEAN sendiri, terlalu berdiplomasi.

Cubaan kerajaan Myanmar untuk menutup kekejaman mereka seharusnya diberikan perhatian serius oleh dunia dan bukan membiarkan sahaja keadaan itu terus berlaku tanpa titik noktah. Ke mana perginya mereka yang selama ini mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia sejagat terutamanya pemenang Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi?

Bagaimana Suu Kyi yang juga Kaunselor Myan­mmar boleh pula men­zahirkan kekecewaan terhadap laya­nan masyarakat antarabangsa yang disifatkannya sebagai tidak adil kepada kerajaan negara ini ketika bukti kekejaman terhadap etnik Rohingya telah tersebar di laman-laman sosial.

Tidak cukup dengan itu, situasi dahsyat dan menyayat hati yang dihadapi penduduk Islam, telahpun disahkan oleh etnik Rohingya yang berjaya menyeberangi sempadan ke negara jiran, Bangladesh.

Seperti mana kata Pengarah HRW Asia Brad Adams, kerajaan Myanmar seharusnya melihat kepada fakta dan bertindak membantu semua orang yang tinggal di negara itu tanpa mengira agama mahupun etnik mereka dan bukannya ‘melenting’ sambil bertindak balas dengan melemparkan dakwaan dan penafian yang dilakukan sejak berada di bawah junta tentera satu ketika dahulu.

Sekiranya kerajaan negara itu tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan, pastinya ia tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima wartawan dan juga penyiasat hak asasi manusia.

Ternyata, pembohongan digunakan untuk menghalalkan cara. Tindakan tentera Myanmar melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam Rohingya dengan membunuh wanita dan kanak-kanak dan membakar perkampungan kerana mereka menyokong pemberontak terlalu sukar untuk ditelan.

Biar apa pun alasan, ia tidak ubah sekadar melindungi perbuatan tentera melakukan pembunuhan yang disengajakan. Bukanlah lawan penduduk yang serba kekurangan berbanding penggunaan senjata seperti helikopter penyerang untuk meranapkan perkampungan penduduk Islam Rohingya.

Apa yang berlaku di Myanmar adalah ujian buat umat manusia di seluruh dunia. Tidakkah ada lagi sekelumit perasaan mereka terhadap sejuta penduduk Islam Ro­hingya di Rakhine yang sekian lama menanggung penderitaan akibat diskriminasi, penindasan dan keganasan tanpa diberikan hak kenegaraan meskipun tinggal di sana sejak turun temurun dan mereka masih dianggap pendatang haram yang menjadi mangsa serangan rakyat Myanmar beragama Buddha.

Bukahkah satu kekejaman, sekiranya lebih 100,000 penduduk Islam Rohingya masih tinggal di dalam kem-kem selepas dihalau keluar daripada rumah mereka selepas berlaku keganasan pada tahun 2012.

Sudah sampai masanya untuk dunia bertindak terutamanya negara anggota ASEAN dan bukan sekadar hanya melaungkan bantahan serta janji-janji manis untuk menghantar bantuan kemanusian. Sekiranya ujian ini, masyarakat antarabangsa gagal untuk mendepaninya, kita bakal menyaksikan satu lagi malapetaka kemanusiaan yang memalukan.

No comments:

Post a Comment