Friday 25 November 2016

Rohingya ketakutan

Myanmar terus halalkan pembunuhan etnik minoriti Islam
25 November 2016 12:20 AM


Mohammad Ayaz dan anaknya, Mohammad Osman kini berlindung di kem pelarian di Ukhiya, daerah Coxs Bazar, Bangladesh. Isterinya yang sarat mengandung ditembak mati tentera Myanmar di Rakhine. AFP
NAYPYiDAW 24 Nov. - Kerajaan Myanmar terus menghalalkan pembunuhan besar-besaran et­nik Rohingya Islam di negeri Rakhine dengan tidak meng­endahkan gesaan du­nia yang mendesak supaya kekejaman ter­hadap penduduk minoriti tersebut dihentikan.
Perkara itu terbukti apabila kerajaan Myanmar terus membisu dan enggan menjelaskan keadaan sebenar situasi di Rak­hine yang terus huru-hara selain tidak membenarkan kemasukan media ke negeri berkenaan.
Utusan Malaysia difahamkan, semua Kedutaan Myanmar di negara-negara ASEAN juga sudah ditutup hari ini dan esok kerana terpaksa tunduk kepada gesaan membela nasib Rohingya.
Bagaimanapun, Kaunselor Myan­mar, Aung San Suu Kyi te­rus menzahirkan kekecewaan ter­hadap layanan masyarakat antarabangsa yang disifatkan se­bagai tidak adil kepada kerajaan negara ini walaupun bukti kekejaman terhadap etnik Rohingya telah tersebar di laman-laman sosial.
Situasi dahsyat dan menyayat hati yang dihadapi penduduk Islam itu disahkan oleh etnik Ro­hingya yang berjaya menyebera­ngi sempadan ke Bangladesh yang mendedahkan kezaliman tentera Myanmar termasuk membunuh wanita yang sarat hamil dan memukul kanak-kanak.
Penduduk bernama Moham­mad Ayaz mendedahkan bagai­mana tentera Myanmar menyerang kampung, merogol be­ramai-ramai wanita Rohingya, membakar lebih 300 buah rumah dan membunuhnya iste­rinya yang sarat mengandung.
“Mereka menembak mati isteri saya, Jannatun Naim dalam keadaan dia sarat mengandung tujuh bulan. Saya bersama anak sulung saya yang berusia dua tahun dan cedera akibat dipukul dengan senapang terpaksa berlindung di terusan sawah.
“Saya terpaksa menjual kasut dan jam tangan untuk ke kem pelarian di Bangladesh bersama-sama 200 penduduk yang lain,” katanya kepada AFP.
Petani bernama Deen Mohammad, 50, yang berjaya melepasi kawalan keselamatan tentera Bangladesh pula berkata, dia tiba di Teknaf empat hari lalu bersama isteri, dua anak dan tiga saudaranya.
“Tentera Myamnar menahan dua anak lelaki saya yang berumur sembilan dan 12 tahun. Saya tidak tahu nasib yang menimpa mereka,” katanya.
Jelasnya, ketika melakukan serbuan di kampungnya, tentera Myanmar turut mengurung gadis dan wanita di dalam rumah dan merogol mereka secara beramai-ramai.
Seorang lagi penduduk, Jannat Ara berkata, dia melarikan diri ke Bangladesh dengan jiran-jiran selepas bapanya ditahan dan adik perempuannya yang berusia 17 tahun hilang dipercayai dirogol dan dibunuh tentera Myanmar.
“Kami mendapat tahu adik saya diseksa sehingga mati. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada ibu saya,” katanya yang sampai di Bangladesh kelmarin. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rohingya-ketakutan-1.411986#sthash.znC6VDSY.dpuf

No comments:

Post a Comment