Wednesday 30 November 2016

Bangladesh halau etnik Rohingya pulang ke Myanmar






AGENSI - BEBERAPA parti politik dan pertubuhan Islam di Bangladesh melakukan protes menggesa kerajaan negara itu memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

DHAKA – Beberapa buah bot yang dipenuhi pelarian Rohingya yang me­larikan diri daripada keganasan di Myanmar telah dipaksa berpatah balik oleh pengawal sempadan Bangladesh kelmarin.

Beribu-ribu etnik Rohingya dari negeri Rakhine, barat Myanmar telah membanjiri sempadan untuk memasuki Bangladesh minggu lalu, membawa bersama cerita menakutkan mengenai kejadian rogol, penyeksaan dan pembunuhan oleh pasukan keselamatan Myanmar.

Lapan bot yang cuba merentasi Sungai Naf yang memisahkan Rakhine dari selatan Bangladesh diarah pulang kelmarin selepas enam buah bot tidak dibenarkan memasuki sempadan negara itu pada Ahad, kata Ketua Pengawal Sempadan di bandar Teknaf, Kolonel Abuzar Al Zahid.

“Terdapat 12 hingga 13 orang etnik Rohingya di dalam setiap bot,” katanya.

Dhaka berkata, beribu-ribu lagi sedang berkumpul di sempadan dan mereka menolak rayuan antarabangsa yang mendesak supaya etnik Rohingya dibenarkan masuk. Sebaliknya, Dhaka menyeru Myanmar meningkatkan usaha menghentikan penduduk melarikan diri.

Dalam tempoh dua minggu lalu, pengawal sempadan Bangladesh telah menghalang lebih 1,000 penduduk Rohingua termasuk wanita dan kanak-kanak, kata seorang pegawai.

Pemimpin pembangkang utama Bangladesh, Khaleda Zia lewat Ahad lalu menyertai gesaan beberapa parti politik dan kumpulan pertubuhan Islam supaya memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

Sekurang-kurangnya 30,000 etnik Rohingya telah menjadi pelarian di Rakhine dan ramai yang cuba memasuki Bangladesh sepanjang bulan lalu.

Samira Akhter memberitahu AFP melalui telefon, bahawa dia tiba di sebuah kem pelarian di Bangladesh pada Isnin lalu selepas melarikan diri dari kampungnya di Rakhine bersama tiga orang anak dan 49 penduduk yang lain.

“Pihak tentera membunuh suami dan membakar rumah kami,” kata Samira, 27, yang bersembunyi selama tiga ming­gu sebelum melarikan diri. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4RSdm7Wdb
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment