Tuesday 29 November 2016

Dosa Myanmar kepada etnik Rohingya





Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM

ETNIK Rohingya bersesak menaik bot dan kapal bagi mencari perlindungan dan menyelamatkan diri.

TANGISAN etnik Rohingya tiada henti sejak empat dekad lalu apabila mereka terus ditindas dan diperlakukan tanpa perikemanusiaan oleh pihak pemerintah Myanmar, junta tentera dan kumpulan anti-Rohingya.

Kebisuan dunia terhadap isu ini membuatkan mereka terus dibunuh, dizalimi dan hidup penuh kesengsaraan tanpa pembelaan.

Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr. Bakri Mat, isu kekejaman terhadap etnik Rohingya merupakan jenayah kemanusiaan yang sangat serius.

“Masyarakat dan seluruh dunia perlu sensitif terhadap kezaliman ini kerana ia melibatkan isu kemanusiaan yang sangat dahsyat.

“Apatah lagi mereka merupakan saudara seagama kita dan kita perlu menunjukkan solidariti dengan menghulurkan pertolongan dalam apa jua cara. Kekejaman itu perlu dihentikan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Masyarakat dan negara ini khususnya tidak boleh berdiam diri dan menganggap ia sebagai perkara remeh. Walaupun terikat dengan dasar ASEAN iaitu tidak campur tangan berhubung isu dalaman negara anggotanya, ia bukanlah tiket untuk membiarkan kezaliman itu. Tindakan tegas perlu diambil terhadap Myanmar.

Buka mata

Malaysia perlu respon secara efektif terhadap kekejaman itu dengan menggunakan forum-forum antarabngsa serta meningkatkan tekanan politik dan diplomatik.

Ujar Bakri, tindakan sedemikian sangat penting untuk memberi kesan yang besar di peringkat global dan membuka mata dunia.

Pada masa sama, Myanmar kini sedang membuka pasaran kepada negara luar dan mengharapkan pelabur-pelabur dari luar. Pastinya, ia memberi kesan jika dunia menolak jenayah kemanusiaan itu.

Mengulas mengenai faktor penindasan itu, Bakri berkata, ia meliputi banyak aspek antaranya, agama dan sejarah lampau yang tidak berkesudahan.

Jelas beliau, penerima anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi gagal bertindak dan mendiamkan diri terhadap isu penindasan dan pembunuhan etnik Rohingya yang berlaku di bawah pentadbirannya.

Sehubungan itu, penganugerahan tersebut wajar dipertikai dan ditarik balik kerana ia bukan hanya melibatkan isu etnik atau agama tetapi kemanusiaan sejagat.

Sementara itu, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Che Abdullah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu saudara beragama Islam apatah lagi ia melibatkan masalah kemanusiaan.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2011 kami aktif memberikan bantuan kemanusiaan termasuklah kepada etnik Rohingya terutamanya yang berada di negara ini.

“Antara program yang dilakukan ialah melancarkan bantuan pada bulan Ramadan dan korban sempena Hari Raya Aidiladha serta membekalkan makanan setiap bulan kepada etnik Rohingya di penempatan pelarian,” katanya.

Ujar beliau, mereka amat memerlukan bantuan kewangan, makanan, pendidikan dan kesihatan memandangkan sumber pendapatan yang tidak menentu.

“Mereka sangat memerlukan bantuan kesihatan. Oleh itu, saya menyeru badan-badan sukarelawan untuk menyediakan bantuan kesihatan kepada etnik itu secara berkala bagi mencegah sebarang penyakit,” katanya.

Salah satu cara untuk membantu masyarakat Rohingya ialah melalui laporan meluas pihak media supaya semua orang tahu dan sedar akan keperitan hidup yang mereka lalui.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini supaya bersatu membantu mereka yang ditindas dan tidak leka dengan kesenangan hidup sehingga membiarkan saudara Islam terus dizalimi.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4ROGCJ8st
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment