Monday 28 November 2016

Etnik Rohingya perlu pembelaan


NORHANA FARIZA HARUN
28 NOVEMBER 2016
Etnik Rohingya perlu pembelaan

Etnik Rohingya perlu pembelaan Etnik Rohingya perlu pembelaan
SELEPAS pilihan raya pada November tahun lalu yang menyaksikan kemenangan Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), masyarakat antarabangsa memuji Myanmar untuk langkah ke arah pembaharuan demokratik.

Sejak parti pimpinan Aung San Suu Kyi itu mengambil alih kuasa pada April lalu, sekali gus mengakhiri pemerintahan tentera selama lebih 50 tahun, ramai pihak berharap ia menandakan permulaan era baharu keamanan dan demokrasi di negara berkenaan.

Bagaimanapun, hak dan kebebasan yang termaktub dalam demokrasi tidak begitu menyeluruh, terutamanya ia dilihat mengabaikan etnik minoriti Rohingya yang sering ditindas.

Sebagai salah satu daripada etnik paling tertindas di dunia, Rohingya dihalang daripada mendapat kewarganegaraan, keselamatan ekonomi dan perkhidmatan sosial.

Melalui diskriminasi sistematik ini, Rohingya terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri. Konflik sektarian yang berterusan di Myanmar telah menolak peralihan demokrasi yang berkesan.

Meskipun organisasi antarabangsa seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus mengkritik, NLD tetap mengabaikan permintaan rakyat Rohingya untuk diiktiraf.

Susulan itu, timbul pula isu pelarian kerana mereka mencari perlindungan di negara jiran. Lebih malang lagi, ia merosakkan hubungan antara Myanmar dengan negara lain seperti Bangladesh selepas negara itu menutup sempadannya untuk Rohingya.

Prejudis serantau terhadap minoriti penduduk Islam berkenaan juga telah mencetuskan pelbagai keganasan sejak lebih lima dekad lalu.

Keadaan keselamatan untuk lebih 1.3 juta penduduk Rohingya di Rakhine semakin tidak dapat dipertahankan.

Terbaru, ketegangan di Rakhine kembali meletus sejak 9 Oktober lalu selepas sembilan pegawai polis terbunuh dalam serangan terancang pemberontak di pos pemeriksaan di sepanjang sempadan dengan Bangladesh.

Sepanjang bulan lalu juga, situasi dihadapi penduduk Rohingya sekali lagi menjadi semakin meruncing. Sejak serangan terbabit, kerajaan Myanmar telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis dan tentera di Rakhine.

Menurut laporan rasmi negara itu, 70 disyaki pemberontak dan 17 anggota pasukan keselamatan telah terbunuh sejak serangan bermula.

Selain itu, ia menyebabkan pembunuhan kira-kira 400 orang awam dengan lebih 2,000 rumah di beberapa kampung dibakar. Ratusan wanita dirogol oleh tentera dan polis sempadan. Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone.

Malah, tentera turut didakwa bertindak kejam dengan menggunakan pelancar roket untuk menembak penduduk Rohingya selain ada yang dibunuh ketika cuba melarikan diri.

Menerusi imej satelit dikeluarkan kumpulan hak asasi manusia (HRW) awal minggu lalu, lebih 1,200 rumah dimusnahkan di perkampungan Rohingya sejak enam minggu lalu.

Masyarakat antarabangsa mendakwa tentera kerajaan bertindak kejam terhadap etnik Rohingya dengan menembak mati, merogol wanita, membakar rumah dan merampas harta benda mereka.

Pelbagai badan bukan kerajaan turut melaporkan bahawa lebih 30,000 etnik Rohingya kini menjadi pelarian di negara sendiri akibat keganasan berkenaan.

Myanmar lakukan pembersihan etnik

Kerajaan Myanmar didakwa sedang berusaha melakukan pembersihan etnik minoriti Rohingya dari wilayahnya.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), John McKissick, tentera bersenjata membunuh golongan itu di negeri Rakhine dan memaksa yang lain melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Katanya, kerajaan turut menjalankan operasi menangani pemberontakan sejak serangan terancang 9 Oktober.

“Pasukan keselamatan bertindak kejam dengan membunuh lelaki, menembak mereka, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita, membakar rumah dan memaksa mereka menyeberang sungai.

“Kini amat sukar untuk kerajaan Bangladesh membuka sempadan kerana secara tidak langsung ia akan menggalakkan lagi Myanmar meneruskan kekejaman dan memaksa Rohingya keluar sehingga tercapai matlamat utama pembersihan etnik itu,” katanya.

Menurutnya, usaha untuk menyelesaikan isu Rohingya perlu memberi tumpuan kepada punca di dalam negara itu sendiri.

Ribuan etnik Rohingya tiba di negara jiran Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan di Rakhine.

Bagaimanapun, pengawal sempadan Bangladesh didakwa menolak mereka daripada memasuki negara itu meskipun PBB menggesa untuk menerima kemasukan mereka.

Rondaan sempadan turut dipertingkatkan selain memanggil duta Myanmar ke Dhaka bagi membuat aduan mengenai penghijrahankumpulan minoriti terbabit dan menggesa integriti sempadan.

“Meskipun pengawal kami berusaha menjaga sempadan bagi menghalang kemasukan, tetapi ribuan rakyat Myanmar termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua terus menyeberangi ke sempadan Bangladesh.

“Ribuan yang lain dilaporkan berkumpul di lintasan sempadan,” menurut Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, Bangladesh telah menghantar 20 bot dipenuhi orang Rohingya kembali ke Myanmar.

Menurut PBB, seramai 30,000 telah menjadi pelarian sejak keganasan di Rakhine pada 9 Oktober lalu, dengan ratusan yang lain dibunuh dalam pertempuran antara tentera dengan pemberontak.

Selain kerajaan Bangladesh, tekanan daripada masyarakat tempatan untuk mengehadkan bilangan pendatang telah meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan 237 kilometer untuk menghalang kemasukan besar-besaran.

Bagaimanapun, pemimpin Rohingya memberitahu, dianggarkan kira-kira 1,000 masih berjaya masuk ke Dhaka sepanjang minggu lalu.

Difahamkan, kebanyakan mereka bersembunyi di kem untuk 32,000 pelarian sah, yang telah tinggal di tenggara Bangladesh kerana takut dihantar pulang jika diketahui pihak berkuasa.

Akibat konflik juga, PBB memberi amaran lebih 3,000 kanak-kanak yang kekurangan zat makanan boleh meninggal dunia jika tidak dibantu.

Ia susulan daripada tindakan tentera menggantung bantuan makanan dan perubatan kepada lebih 150,000 orang di kawasan berkenaan sejak lebih 40 hari lalu.

Tahun lalu, ribuan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine terkandas di laut ketika cuba membuat perjalanan ke Indonesia, Malaysia dan Thailand.

China terima 3,000 pelarian China memberi perlindungan kepada lebih 3,000 etnik Rohingya yang melarikan diri dari konflik di Myanmar selain meletakkan pasukankeselamatan dalam keadaan berjaga- jaga susulan pertempuran antara kerajaan dan pemberontak.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata, mereka yang cedera di kalangan 3,000 orang itu telah dibawa ke hospital untuk dirawat.

“Kami amat berharap kedua-dua pihak yang bertelagah dapat berhenti. China bersedia untuk terus memainkan peranan bagi membina proses damai, mengikut kehendak mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa kedua-dua pihak hentikan tindakan ketenteraan serta-merta dan mengambil langlah efektif supaya keamanan sempadan kembali seperti sedia kala.

Suu Kyi 'benarkan' pembunuhan beramai-ramai

Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi didakwa tidak melindungi orang Islam Rohingya dan membenarkan pembunuhan beramai-ramai.

Operasi ketenteraan di Rakhine telah menyebabkan ribuan melarikan diri ke sempadan Bangladesh dan tentera kerajaan didakwa membunuh dan merogol golongan wanita.

Jurucakap daripada HRW, David Mathieson berkata, kegagalan Suu Kyi bersuara bagi menyokong Rohingya membingungkan masyarakat antarabangsa memandangkan beliau adalah ikon hak asasi manusia dan pejuang demokrasi.

“Sikapnya berdiam diri menjelaskan sikap tidak prihatin dan yang paling penting menunjukkan beliau tidak mempunyai kawalan ke atas tentera,” katanya.

Sementara itu, penyelidik di Queen Mary University, London, menyifatkan tindakan Suu Kyi berdiam diri turut mengukuhkan lagi penindasan terhadap minoriti Rohingya.

“Meskipun ini adalah ujian paling penting dalam sesebuah kepimpinan, namun hakikatnya pemimpin negara itu masih bersikap tidak acuh,” menurutnya.

No comments:

Post a Comment