Thursday 24 November 2016

Warga Jakarta berhimpun di Kedutaan Myanmar isu Rohingya

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2016 @ 7:59 PM



ANTARA rakyat Indonesia yang membuat bantahan di luar Kedutaan Myanmar di Jakarta, hari ini. - Foto AP

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia, yang berang dengan kekejaman terhadap penduduk Islam Rohingya di Myanmar, membuat bantahan hari ini di luar Kedutaan Myanmar di ibu kota Indonesia itu. Jurucakap polis ibu kota ini, Awi Setiyono, berkata sekurang-kurangnya 200 orang menyertai bantahan itu. Mereka berarak dalam tiga kumpulan ke kedutaan, yang dikawal berpuluh anggota polis serta melancarkan bantahan aman namun bingit. Penunjuk perasaan memegang sepanduk besar bertulis, "Hentikan pembunuhan orang Islam di Myanmar" dan melaungkan "Selamatkan Rohingya." Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, adalah penyokong kuat Rohingya, etnik minoriti Islam dalam kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar. Satu bantahan anti-Myanmar turut dirancang esok oleh kumpulan belia Islam di Malaysia malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menggesa negaranya menarik diri daripada perlawanan bola sepak Asia Tenggara yang disertai Myanmar. Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyatnya, walaupun mereka hidup di negara itu selama beberapa generasi. Penindasan ke atas Rohingya memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka berdepan keganasan dihasut penganut tegar Buddha dan diskriminasi institusi. Imej satelit definisi tinggi dianalisis pertubuhan hak asasi Human Rights Watch (HRW) menunjukkan kemusnahan 1,250 kediaman di lima perkampungan Rohingya di Rakhine, di mana tentera menjalankan operasi anti-keganasan. Ko Ko Linn, seorang aktivis daripada Pertubuhan Nasional Arakan Rohingya berkata, lebih 100 orang terbunuh dan lebih 1,000 rumah dimusnahkan dalam tindakan keras itu. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/216425

No comments:

Post a Comment