Monday 14 November 2016

Pertempuran sengit di Rakhine




GAMBAR yang diedarkan tentera Myanmar semalam menunjukkan lubang besar akibat letupan periuk api di atas jambatan di kampung Maung Nama Taung di Maungdaw, Rakhine. - AFP


Agensi
Yangon: Kerajaan Myanmar semalam melaporkan pertempuran sengit meletus di Rakhine, negeri di barat negara itu, tempat tentera melancarkan keganasan terhadap penduduk Islam.

Pertempuran itu yang dilaporkan dalam kenyataan Kementerian Penerangan berlaku ketika kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera Myanmar mencabuli etnik Rohingya.

Kenyataan itu mendakwa tentera kerajaan diserang hendap pagi kelmarin oleh sekumpulan 60 lelaki bersenjatakan pistol, pisau dan tombak.

Menurutnya, seorang tentera dan sekurang-kurangnya enam penyerang terbunuh.

Ia juga menyatakan, seorang pegawai tentera turut mati dalam pertempuran lain dengan kira-kira 500 lelaki bersenjata yang berakhir dengan dua helikopter tentera udara menyertai pertempuran itu.

Penyerang itu tidak dikenal pasti tetapi tentera yang bersekutu dengan penduduk Buddha Rakhine memerangi etnik Rohingya sejak keganasan kaum meletus pada 2012.

Kenyataan Kementerian Penerangan itu juga mendakwa penyerang membakar sebuah kampung ketika mereka berundur.

Namun, kumpulan hak asasi manusia berkata, bukti menunjukkan tentera Myanmar dan pelampau Buddha yang membakar kediaman penduduk Islam.

Gambar baru satelit yang diperoleh Humans Right Watch (HRW) menunjukkan bukti serangan besar-besaran terhadap perkampungan Rohingya.

Analisis yang dilakukan mereka menunjukkan 400 bangunan dibakar di tiga kampung Rohingya, tempat tentera melakukan keganasan.

Brad Adams, pengarah HRW Asia berkata, gambar baru itu menunjukkan kemusnahan besar-besaran yang lebih teruk daripada disangka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:38 AM

No comments:

Post a Comment