Friday 11 December 2015

Takut kena bunuh

Bangkok: Seorang bekas pegawai polis Thailand yang mengetuai siasatan terhadap sindiket penyeludupan imigran Rohingya dari Myanmar kini meminta perlindungan politik di Australia.
Media di Australia semalam melaporkan, Paween Pongsirin mendakwa ada tokoh berpengaruh dalam kerajaan, tentera dan polis mahu dia dibunuh.
Paween tiba di Melbourne awal minggu ini dengan visa pelancong, tetapi memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia dan akhbar Guardian Australia bahawa dia merancang memohon suaka.
“Saya menyiasat kes penyeludupan manusia bagi membantu mangsa yang berdepan masalah.

“Saya tidak pernah memikirkan kepentingan diri sendiri, tetapi kini saya pula yang berdepan masalah.
“Saya percaya ada tempat yang selamat untuk saya. Satu tempat di dunia yang boleh membantu saya,” katanya.
Paween meletak jawatan pada 5 November lalu selepas dipindahkan ke selatan Thailand, wilayah beberapa tokoh berpengaruh ditangkap kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan imigran dari Myanmar dan Bangladesh.
Pasukan Paween mengeluarkan 153 waran tangkap dan menahan 91 suspek, tetapi pengaruh sebahagian suspek menyebabkan dia dalam bahaya.
Paween dipilih mengetuai siasatan kes itu selepas lebih 30 kubur imigran dijumpai di sebuah kem penyeludupan manusia di satu kawasan hutan di Songkhla pada 1 Mei lalu.
Antara suspek yang ditangkap termasuklah seorang pegawai kanan tentera, Mejar Jeneral Manas Kongpan dan beberapa ahli politik.
“Ada individu termasuk pegawai polis dan tentera terbabit dengan aktiviti ini, dan malangnya mereka mempunyai kuasa.
“Memindahkan saya ke selatan Thailand bermakna mereka mahu saya mati,” tambahnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 7:01 AM


PAWEEN ketika menjawab soalan wartawan dalam satu sidang akhbar mengenai kes penyeludupan manusia pada Mei lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99377#sthash.XywusVHb.dpuf

No comments:

Post a Comment