Friday 18 December 2015

‘Sudah dua minggu Najiba hilang’

WARTAWAN SINAR HARIAN

Mohd Shakir ditemani isterinya menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anaknya, Najiba yang hilang sejak dua minggu lalu.

 PASIR PUTEH - Pasangan warga Rohingya dari Myanmar resah apabila anak perempuan mereka yang hilang sejak dua minggu lalu belum dapat dijejaki.
Keadaan itu menyebabkan Mohd Shakir Abdul Kadir, 40, dan isterinya, Sahara Bibi Abu Kalam, 25, berusaha siang dan malam untuk mencari anaknya, Najiba, 12.
Mohd Shakir berkata, dia membuat salinan gambar anaknya serta meletakkan nombor telefon dan menampalnya di lokasi tertentu di sekitar daerah ini dengan harapan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubunginya.
“Saya sudah bertanyakan saudara saya yang tinggal di Kota Bharu, saya bertanyakan kepada kawan-kawan di rumah kongsi tempat saya bekerja, tapi semua orang tidak tahu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Cempaka, Kampung Kelubi Jalan Kota Bharu di sini, semalam.
Menurutnya, pada 5 Disember lalu, Najiba meminta izin untuk keluar membeli makanan kira-kira jam 11 malam di kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 60 meter dari rumahnya.
Katanya, selepas 10 minit Najiba tidak kelihatan, dia mengambil keputusan untuk keluar mencarinya.
“Saya tak tunggu lama, saya cari Najiba kerana biasanya dia keluar sekejap saja tetapi dia tidak ada di kawasan itu, saya bertanyakan kepada orang ramai tetapi orang tak tahu ke mana dia pergi.
“Saya dan isteri terus cari di kawasan sekitar tetapi tidak jumpa, saya tidak boleh menjangkakan ke mana dia pergi kerana setahu saya dia tidak mempunyai kawan di sini,” katanya yang membuat laporan polis pada keesokannya.
Mohd Shakir berkata, Najiba yang belum benar-benar fasih berbahasa Melayu, ketika keluar malam itu memakai seluar panjang hijau dan baju-T kuning.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Najiba boleh menghubunginya di talian 018-4737813.
Mohd Shakir bersama keluarga tinggal di daerah ini sejak tiga tahun lalu untuk bekerja sebagai buruh binaan di Bandar Baharu Pasir Puteh, dekat sini.
“Saya harap dapat jumpa Najiba secepat mungkin...fikiran saya terganggu, nak bekerja pun tak senang,” katanya.

No comments:

Post a Comment