Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 52 tahun itu juga terpaksa membayar RM5,000 seorang kepada ejen yang menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan di tapak pembinaan atau restoran di Kuala Lumpur.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan pukul 9.30 malam itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.
“Berdasarkan maklumat awal, mereka menaiki bot selama sehari dari Myanmar sehingga ke Ranong, Thailand sebelum dibawa ejen sehingga ke Hatyai seterusnya ke Danok, Thailand, dengan berjalan kaki dan menaiki bas, selama sembilan hari.
“Sebaik sahaja sampai di Danok, mereka diarah berjalan kaki dan menceroboh masuk ke sempadan Malaysia di Chuping menerusi pagar rosak sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Syed Basri, berdasarkan dua warna tali yang diikat pada pergelangan kaki pendatang asing terbabit, kesemua mereka akan diambil oleh dua tekong berlainan.
Bagaimanapun katanya, dalam operasi disertai 25 anggota risikan UPP itu, tiada tekong atau ejen ditangkap.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3), Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.