MOHAMAD MANSOR MOHD. NOR
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Mansor Mohd. Nor berkata, berdasarkan siasatan awal, keluarga mangsa sebenarnya telah berjaya mengumpul dan mengirimkan kira-kira RM27,000 kepada kumpulan suspek warga Myanmar itu.
“Memang mangsa berhutang tetapi apabila sudah dapat wang daripada keluarga mangsa, suspek terus minta lagi tebusan sebanyak RM50,000.
“Namun, keluarga mangsa hanya dapat mengumpulkan sebanyak RM27,000 dan ia menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan bertindak kejam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini semalam.
Menurut Mohd. Mansor, dalam kejadian pada 28 November lalu, kedua-dua mangsa yang berumur 29 dan 20 tahun telah ditangkap sebelum dibunuh.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dicampak ke dalam hutan tebal di Genting Highlands.
Katanya, pada 10 Disember lalu pihak polis menemukan mayat mangsa di dalam lubang yang ditutupi daun kayu kira-kira lima kilometer di dalam hutan.
“Hasil bedah siasat terdapat kesan tikaman pada rusuk kanan dan kiri mangsa pertama yang berumur 29 tahun manakala mayat mangsa kedua berumur 20 tahun telah reput pada bahagian kepala serta perut. Dia dipercayai mati akibat kegagalan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, katanya, pada masa ini, polis menahan enam suspek warga Myanmar berumur 27 hingga 34 tahun termasuk lima orang di Kulim, Kedah dan seorang di Genting Highlands.