Kejayaan parti berkenaan juga membawa perubahan kepada pentadbiran di negara itu, beralih daripada sistem pemerintahan tentera yang menindas rakyat ke arah pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat.
Justeru, pelbagai pihak tertanya-tanya adakah kemenangan Suu Kyi yang memperjuangkan hak asasi manusia dan perubahan sistem pemerintahan di Myanmar akan turut mengubah nasib etnik Islam Rohingya yang teruk ditindas dan tidak diberikan perhatian oleh kerajaan junta Myanmar menyebabkan sebahagian besar mereka terpaksa menjadi pelarian untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman puak pelampau Buddha.
Namun, ramai melihat nasib Rohingya tidak akan berubah dibawah pentadbiran baharu tersebut berdasarkan tindakan Suu Kyi dan NLD sebelum ini ketika kempen pilihan raya tidak menyentuh langsung tentang nasib dan masa depan etnik Rohingya.
Ketika pemerintahan yang di­pimpin kerajaan junta, hak kewarganegaraan etnik Rohingya dibatalkan dan mereka dilabelkan sebagai pendatang dari Bangladesh.
Ekoran kehilangan kewarganegaraan, sebahagian besar penduduk Rohingya tidak layak me­ngundi pada pilihan raya umum lalu.
Sebelum itu penduduk Ro­hingya menjadi sasaran serangan penduduk negeri Rakhine yang beragama Buddha sehingga menarik perhatian antarabangsa pada 2012.
Akta Kewarganegaraan 1982 mengiktiraf 135 kumpulan etnik di negara itu sebagai rakyat Myanmar, namun etnik Rohingya diketepikan. Etnik yang diiktiraf sebagai paling ditindas itu kemudian hanya diberikan kad kewarganegaraan sementara, namun menjelang April tahun ini, kad berkenaan tidak lagi diperakui.
Sistem diskriminasi sama dite­ruskan apabila pilihan raya umum diadakan. Berdasarkan laporan 7.6 juta etnik Rohingya tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum yang lalu.
Semasa berkempen untuk par­tinya, Suu Kyi hanya berdiam diri berhubung isu berkenaan ke­rana bimbang kehilangan sokongan daripada penduduk Myanmar yang majoritinya beragama Buddha.
Suu Kyi juga dilaporkan terpaksa menggugurkan beberapa calon da­ripada etnik Rohingya yang diletakkan bertanding dalam pilihan raya tersebut selepas kerajaan junta menetapkan syarat, etnik berkenaan tidak dibenarkan bertanding, walaupun calon-calon tersebut telah bersama beliau sejak 1999.
Seorang pegawai Suu Kyi sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa isu Rohingya bukan agenda utama kempen mereka.
Selain itu, jika NLD membentuk kerajaan dan mahu menjaga kebajikan Rohingya, mereka bakal menghadapi tentangan daripada parti-parti politik radikal Buddha yang disokong tentera iaitu Parti Pembangunan Kesatuan Persaudaraan (USDP) yang bergerak di peringkat nasional dan Parti Nasional Arakan (ANP) yang menjaga kepentingan penduduk Rakhine.
USDP dan ANP yang menerima sokongan kuat kerajaan junta dilaporkan memenangi beberapa kerusi Parlimen dan menguasai majoriti kerusi yang dipertandingkan di negeri Rakhine.
Keadaan itu pasti akan menyebabkan proses untuk mengembalikan hak etnik Rohingya bertambah sukar.