Friday 7 October 2016

Silap tarik plag





AFP
Mandalay (Myanmar: Seorang pelancong Belanda dipenjara tiga bulan dengan kerja keras kerana menghina agama selepas mencabut amplifier yang menyiarkan khutbah agama Buddha.

Klass Haytema, 30, ditahan dua minggu lalu selepas mencabut plag ketika acara diadakan di sebuah kuil berhampiran hotelnya di Mandalay, utara Myanmar, kerana dianggap bising dan mengganggu tidurnya.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata, Haytema jelas bersalah menghina agama dan dihukum penjara tiga bulan dengan kerja berat.

Haytema yang menangis ketika keputusan itu dibacakan juga memilih membayar denda 100,000 kyat (RM327) untuk mengelak menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan kerana melanggar syarat visanya, yang mewajibkan pelancong menghormati kebudayaan tempatan.

Media sebelum ini melaporkan, Haytema memohon maaf dan tidak berniat menghina sesiapa sebaliknya cuma mahu tidur.

Selain itu, Haytema dituduh menghina agama Buddha apabila tidak membuka kasutnya sebelum memasuki dewan sembahyang.

Haytema pelancong terbaru yang dihukum kerana menghina agama dan upacara Buddha di negara itu.

Pada Julai lalu seorang pelancong Sepanyol diusir selepas sekumpulan sami mengadu mengenai tatu Buddha pada kakinya.

Tahun lalu, seorang pengurus bar dari New Zealand dipenjara 10 bulan kerana menghina agama apabila menggunakan imej Buddha untuk mempromosikan harga murah minuman kerasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:24 AM

No comments:

Post a Comment