Friday 14 October 2016

Penduduk lari dari Rakhine






AFP - SEORANG anggota polis mengawal kesesakan orang ramai di sebuah jeti di Sittwe kelmarin.

YANGON – Guru dan kakitangan kerajaan terpaksa melarikan diri ke utara sempadan Myanmar kelmarin selepas pertempuran di ne­geri Rakhine menyebabkan berpuluh-puluh orang mati.

Orang ramai berkumpul di jeti di ibu kota Sittwe selepas tiba dengan menggunakan bot yang terletak berhampiran dengan sempadan Bangladesh.

Ia merupakan kawasan penempatan kepada etnik minoriti Islam Rohingya yang dikurung oleh tentera selepas serangan di sempadan pengawal.

Kira-kira 12 orang mati dalam pertempuran itu yang membabitkan antara lelaki bersenjata termasuk empat tentera turut terbunuh apabila mereka diserang beratus-ratus lelaki bersenjatakan pistol dan pedang.

Pasukan tentera kemudian mengenakan perintah berkurung di sekitar kawasan Maungdaw selepas sembilan anggota polis terbunuh pada Ahad lalu dalam serangan di tiga pos pemeriksaan sempadan.

Pihak berkuasa berkata, kumpulan perusuh itu menggunakan pedang dan senjata buatan sendiri.

Lebih 400 sekolah turut ditutup di Maungdaw, manakala perintah berkurung telah berkuat kuasa antara 7 malam hingga 6 pagi.

Pergolakan terbaharu itu menyebabkan beberapa pihak tidak menolak kejadian tahun 2012 kemungkinan akan berlaku semula.

Keganasan yang berlaku di Rakhine itu menyebabkan 100 orang terbunuh selain mendorong berpuluh-puluh ribu Rohingya terpaksa dipindahkan ke kem sementara.

Sementara itu, beberapa aktivis berkata, pasukan tentera menggunakan alasan mencari penyerang untuk mengambil tindakan keras ke atas Ro­hingya yang merupakan salah satu etnik paling tertindas di dunia.

Keganasan semakin memuncak di rantau ini merupakan satu cabaran besar kepada Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang kini turut menerima tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan masalah Rohingya. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4N3yAFlmR
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment