Monday 10 October 2016

AS batal sekatan ekonomi Myanmar


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 OKTOBER 2016

AS batal sekatan ekonomi Myanmar


AS batal sekatan ekonomi Myanmar Suu Kyi (kiri) berjabat tangan dengan Obama sewaktu sesi pertemuan dua hala di Rumah Putih, Washington pada 14 September lalu.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama, mengumumkan secara rasmi penarikan semula sekatan ekonomi ke atas Myanmar.

Menurutnya, keputusan itu melibatkan pemansuhan polisi kecemasan yang sebelum ini melabel Myanmar sebagai ancaman AS.

"Saya dapati situasi tegang telah dapat dikawal dengan baik oleh Kerajaan Myanmar yang berusaha untuk melaksanakan amalan demokrasi, termasuklah pilihan raya bersejarah pada November tahun lalu," kata Obama.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Perbendaharaan AS menyebut, disebabkan pemansuhan polisi kecemasan itu, sekatan ekonomi dan kewangan ke atas Myanmar yang ditadbir oleh Jabatan Pejabat Perbendaharaan dan Kawalan Aset Antarabangsa tidak lagi berkuat kuasa.

Keputusan itu merupakan susulan pertemuan di antara Obama dan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi di Washington bulan lalu, yang mana Suu Kyi meminta AS menarik semula sekatan ekonomi terhadap Myanmar.

Parti Liga Demokrasi kebangsaan yang diterajui Suu Kyi, menang besar dalam pilihan raya November tahun lalu. Beliau yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan pernah meminta Barat mengenakan sekatan terhadap Myanmar sewaktu dipenjarakan ketika menjadi pemimpin parti pembangkang di negara itu.

Obama bagaimanapun menjelaskan, AS akan menggunakan pelbagai cara untuk membantu Kerajaan Myanmar dan rakyatnya dalam cabaran mewujudkan negara demokrasi.

Dalam perkembangan lain, kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di Myanmar mengutuk pengumuman terbaru Obama, sambil menyifatkan ia bakal mengurangkan pengaruh dan kuasa tentera di negara itu lapor Reuters.

No comments:

Post a Comment