Saturday 29 October 2016

Tentera Myanmar rogol wanita Rohingya


29 Oktober 2016 12:17 AM


A displaced resident carries her child at a Buddhist monastery in Kantharyar village at Maungdaw located in Rakhine State near the Bangladesh border on Octob...
BERPULUH-PULUH wanita dan kanak-kanak etnik Rohingnya dilaporkan menjadi mangsa serangan tentera ekoran operasi besar-besaran pihak berkuasa Myanmar. AFP
KAWASAN perkampungan etnik Rohinnya di Maungdaw yang musnah akibat dibakar tentera Myanmar baru-baru ini. AFP
YANGON 28 Okt. – Beberapa wanita etnik Islam Rohingnya di sebuah kampung terpencil di barat laut negara ini mendakwa dirogol dan diserang secara seksual oleh tentera Myanmar yang menyerbu kediaman mereka minggu lalu.

Lapan wanita terbabit menceritakan semula detik-detik bagaimana tentera Myanmar menyerang dan memperkosa mereka dengan diacukan senapang di kepala kepada agensi berita Reuters di kampung U Shey Kya di negeri Rakhine.

Mereka mendakwa, kira-kira 150 tentera menyerbu perkampungan tersebut pada 19 Oktober lalu dan mula menggeledah serta membakar rumah-rumah untuk menghapuskan kumpulan pemberontak Islam di kawasan tersebut.

Pendedahan itu turut diakui oleh tiga lagi penduduk lelaki yang tinggal di kawasan berkenaan termasuk pemimpin masyarakat Rohingya di Maungdaw yang telah mengumpulkan laporan mengenai kejadian itu.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kebanyakan penduduk lelaki meninggalkan kampung tersebut kerana takut disyaki sebagai pemberontak dan kaum wanita terpaksa tinggal bersendirian untuk melindungi rumah yang kosong daripada dibakar oleh pihak tentera.

“Mereka bukan sahaja merogol saya berulang kali malah meng­ugut untuk membunuh dan tidak akan membenarkan kami hidup di negara ini. Mereka juga bertindak kejam merampas harta benda, barang kemas, wang dan tong simpanan beras kami turut ditabur dengan pasir,” kata seorang wanita berusia 30 tahun.

Seorang wanita berusia 40 tahun pula mengakui, empat tentera telah merogolnya dan menyerang anak perempuannya yang berusia 15 tahun serta merampas semua barang kemas dan wang tunai milik ahli keluarga mereka.

Seorang lagi mangsa berusia 32 tahun memberitahu, walaupun sudah tidak mempunyai makanan dan pakaian, mereka tidak dapat bergerak ke kampung lain untuk mendapatkan bantuan serta rawatan perubatan kerana merasa sa­ngat takut.

Ketua Polis Rakhine, Kolonel Sein Lwin bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan pasukan tentera tidak memberi maklum balas berhubung kejadian itu.

Sejak 9 Oktober lalu, tentera Myanmar melakukan operasi besar-besaran di bandar Maungdaw di Ra­khine selepas sembilan anggota polis sempadan maut di­serang berhampiran sempadan Bangladesh.

Kerajaan Myanmar menuduh kumpulan bersenjata yang dikatakan terdiri daripada kira-kira 400 pejuang Rohingya bertanggungjawab ke atas serangan itu. – REUTERS

No comments:

Post a Comment