Laman web The Nation hari ini melaporkan, mereka yang ditahan terdiri daripada 608 lelaki, 74 wanita, dan 45 kanak-kanak.
Tentera Myanmar mendakwa, mereka meninggalkan Bangladesh dan bergerak ke Thailand menaiki tiga buah bot dalam cubaan untuk mencari kerja di Malaysia.
“Apabila tiba di Thailand, mereka dilaporkan gagal bertemu orang tengah dan cuba mengelak daripada dijumpai pihak berkuasa.
“Mereka dihantar semula ke laut dan pulang ke Bangladesh,’’ kata tentera.
Pasukan keselamatan itu menjelaskan, bot-bot berkenaan ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke Bangladesh.
Seorang pegawai tentera laut yang enggan namanya didedahkan berkata, Thailand menempatkan mereka semula ke dalam bot dan menolak keluar bot-bot berkenaan dari kawasan perairan negara itu.
“Orang hanyut itu menyatakan mereka berlepas dari Thailand sejak 10 hari lalu,’’ katanya.
Tentera berkata, semua orang hanyut tersebut dihantar ke pelabuhan tentera laut di Haigyi.
Dalam pada itu, tentera hari ini dilaporkan menghalang media pergi ke pangkalan tentera laut tersebut.
Wartawan dan jurugambar diarahkan menandatangani dokumen persetujuan untuk tidak lagi pergi ke pulau sama. – Agensi/AFP